Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur al Quran Surah al Waqiah Siri 14

871
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 14

Ayat: 45-48 : Kenapa Ashab Al-Syimal Diseksa dan Diazab?

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُتْرَفِينَ – ٤٥

Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. (45)

وَكَانُوا يُصِرُّونَ عَلَى الْحِنْثِ الْعَظِيمِ – ٤٦

Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar. (46)

وَكَانُوا يَقُولُونَ أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَئِنَّا لَمَبْعُوثُونَ – ٤٧

Dan mereka selalu mengatakan, “Apakah apabila kami mati dan menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?

أَوَ آبَاؤُنَا الأوَّلُونَ – ٤٨

Apakah bapa-bapa kami terdahulu (dibangkitkan pula)? ”

? Tafsir ringkas:

1. Setelah memaparkan beberapa siksaan yang dikenakan kepada golongan kiri, maka pada ayat-ayat ini Allah SWT menyebut pula sebab-sebab utama mereka diazab sedemikian rupa.

2. Sudah maklum bahawa setiap amalan dan perbuatan yang dilakukan di dunia pasti akan mendapat pembalasan di akhirat kelak samada baik atau buruk. Antara amalan buruk yang dilakukan oleh golongan kiri ini semasa di dunia ialah;

i. Mereka dilalaikan dengan kemewahan dunia daripada mengingati hukum-hukum Allah serta sibuk mengejar kesenangan diri tanpa menghiraukan ajaran para rasul sehingga tidak sempat beramal ibadah dan membuat persediaan menuju akhirat.

ii. . Mereka juga sentiasa melakukan dosa besar, bersikap keras dan tidak mahu bertaubat. Termasuk dalam dosa ini adalah dosa-dosa syirik. Manakala Ibnu Abbas pula mengatakan yang dimaksud dengan dosa besar dalam ayat ini ialah mempersekutukan Allah.

iii. Mereka tidak percaya dan sering mempertikaikan hari Qiamat dan hari kebangkitan semula.

iv. Mereka sering menimbulkan kekeliruan dan mempersoalkan kebenaran janji Allah bahawa mereka akan dihidupkan semula selepas kematian untuk diperhitung segala amalan di dunia.

? Pengajaran

1. Kemewahan hidup tidak dilarang oleh agama. Apa yang menjadi masalah ialah apabila kemewahan itu menyebabkan manusia lupa diri dan engkar terhadap Allah SWT. Sepatutnya kemewahan tidak menjadikan kita lalai dengan apa yang ditawarkan oleh dunia sehingga tidak sempat beramal dan membuat persediaan untuk kehidupan akhirat yang kekal.

2. Rezeki yang Allah limpahkan kepada kita gunakanlah dengan amanah dan sebaik-baiknya. Jadikan ia alat untuk kita memperbanyak amal ibadat, memperbaiki kualiti amal dengan mempelajari agama dengan benar, membersihkan harta dengan infaq, zakat dan sedeqah serta melaburkan sebahagiannya ke jalan Allah dalam menegakkan agamaNya.

3. Jadilah orang kaya yang berhemah dan budiman. Hidup tawadhuk, tidak menunjuk-nunjuk, bersederhana serta berbelanja mengikut keperluan.

4. Jika memiliki harta yang banyak janganlah boros ketika berbelanja, membeli macam-macam perkara yang tidak perlu, sehingga ke tahap berdosa kerana ia dianggap membuang duit dan membazir kepada perkara yang lagho dan bermegah-megah. Ketahuilah bahawa membazir adalah sekutu syaitan.

5. Al-Quran ada menyebut bahawa kebiasaan golongan mewah dan orang kaya akan cenderung berbuat dosa, lupa diri, engkar dan sombong dengan Allah SWT. Justeru itu, sebagai orang mukmin, berhati-hatilah ketika diuji dengan keberlimpahan harta dan haruslah menyedari bahawa tidak semua harta yang kita cari dan kita miliki adalah hak kita yang hakiki kerana sebenarnya ada terselit hak orang lain yang perlu kita tunaikan.

6. Biasanya orang-orang kaya, berpangkat dan berkedudukan leka dan lalai daripada mengingati mati sehingga ke tahap mereka tak percaya kepada hari Qiamat dan perjumpaan dengan Allah kelak. Sebagai mukmin yang mengambil tanggungjawab berdakwah kepada golongan ini haruslah melengkap diri dengan ilmu yang pelbagai dan iman yang kental kerana sirah nabi dan pendakwah silam dan terdahulu memaparkan bahawa semasa disampaikan ajaran wahyu, golongan inilah yang selalu membantah malah mereka mengeluarkan pendapat mereka yang tidak didasarkan atas dalil wahyu.

7. Pertajamkan lagi penelitian kita terhadap anutan masyarakat hari ini yang diserapi pelbagai idealogi yang berteraskan materialisme (kebendaan) dan logik. Mereka menggunakan akal mereka yang cetek untuk menolak wahyu. Mereka ingin meneruskan kelangsungan hidup tanpa pegangan agama sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan mempersoalkan ketentuan yang telah ditetapkan agama.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
19 Mei 2019 / 14 Ramadhan 1440