Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 7

3372
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 7

Ayat: 9 : Dialog Ahli Neraka

? Firman Allah serta terjemahannya:

قَالُوا بَلَى قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ

Mereka menjawab, “Benar ada, ” sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, tetapi kami mendustakan(nya) dan kami katakan, “Allah tidak menurunkan sesuatu pun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar.”

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menggambarkan kemarahan neraka serta lontaran pertanyaan yang mengecam penghuni neraka dalam ayat yang sebelumnya, maka ayat ini diteruskan dengan dailog ahli neraka yang menzahirkan penyelesalan mereka.

2. Orang kafir sudah tiada lagi hujjah dan terpaksa akhirnya mengakui bahawa memang sungguh telah datang kepada mereka seorang rasul yang memberi peringatan tapi mereka tetap juga mendustainya dengan menolak dakwah dan menafikan semua kebenaran yang disampaikan.

3. Orang kafir bukan sekadar mendustakan seruan para Rasul, bahkan mereka turut mengejek dan mendakwa bahawa Rasul dan para pengikutnya itulah yang telah jauh sesat. Al-Zamakhsyari menyatakan bahawa hujung ayat ini boleh juga ditafsirkan sebagai kata-kata malaikat penjaga neraka terhadap orang kafir yang sesat akibat perbuatan mereka ketika di dunia itu.

? Pengajaran

1. Renungilah ayat-ayat Al Quran yang menggambarkan kecaman, soal-jawab dan siksaan yang dihadapi oleh ahli neraka agar menjadi peringatan kepada kita supaya sentiasa berwaspada daripada melakukan kekufuran dan kemungkaran semasa di dunia.

2. Allah SWT tidak akan menyeksa hambaNya kecuali setelah diberi dan sampai peringatan kepada mereka oleh Rasul yang telah diutuskan. Oleh itu, janganlah kita menolak ajaran atau peringatan yang disampaikan oleh Rasullullah SAW dan para pendakwah, yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, agar kita tidak termasuk dalam golongan yang menyesal di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Tegas siksanya terhadap orang-orang yang ingkar terhadap perintah dan laranganNya.

3. Usahlah mencipta pelbagai alasan untuk mengingkari perintah dan larangan Allah SWT kerana di akhirat nanti tiada helah lagi yang boleh diberikan selain daripada mengakui sahaja segala kesalahan yang telah kita lakukan.

? Rujukan:
Tafsir Munir
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Wasit lil Quran al-Karim

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 Januari 2020 / 21 Jamadil Awal 1441