Home Artikel PAS Sabah

Pindaan MA63 : Pembangkang tolak kerana hanya melibatkan pembahagian negeri bukan hak rakyat

3611
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain
17 Januari 2020

KIMANIS : Pindaan Perjanjian 1963 (MA63) yang dibentangkan tahun lalu oleh kerajaan dalam parlimen tidak melibatkan penambahan atau pengurangan negeri tetapi berkaitan susunan dan pembahagian negeri-negeri.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menjelaskan pindaan yang dibawa itu tidak melibatkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

“Tuntutan royalti Sabah, hasil mahsul Sabah, isu pendatang asing negeri Sabah dan perkara lain yang ada dalam MA63 tidak dibawa, sebab itu pembangkang tolak,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

“Kononnya untuk naikkan martabat Sabah Sarawak agar setaraf dengan Semenanjung Malaysia tetapi hakikatnya bukan begitu, pindaan itu tidak cukup (untuk memenuhi hak rakyat),” jelasnya.

Ulasnya lagi, dalam usul yang dibawa itu, kerajaan hanya bercadang untuk meminda Perkara 1(2) iaitu peruntukan perlembagaan yang berkaitan senarai negeri-negeri yang ada di dalam negara.

Tambahnya, ia melibatkan dua perenggan yang menyatakan negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu untuk satu perenggan manakala satu perenggan lagi ialah Sabah dan Sarawak.

Justeru beliau menyeru pengundi Kimanis untuk kekalkan kemenangan BN di Kimanis sekaligus memilih Datuk Mohamad Alamin sebagai ahli parlimen kawasan berkenaan.

“Saya melihat beliau orang yang berwibawa yang mampu bawa peranan sebagai ahli parlimen Malaysia, bukan hanya untuk Kimanis dan Sabah, malah Malaysia.

Katanya, beliau merupakan seorang peguam dan memang layak jadi ahli parlimen yang tugasnya adalah menggubal undang-undang negara.