Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 4

3948
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 4

Ayat: 5 : Bukti Kekuasaan Allah pada Alam Semesta (2)


? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ (٥)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

? Tafsir:

1. Dalam ayat sebelum ini, Allah menyatakan salah satu kejadian alam yang hebat dan bebas dari sebarang kecacatan iaitu langit. Dalam ayat ini, Allah menjelaskan lagi kehebatan yang ada pada makhuk ciptaan-Nya ini.

2. Allah menyatakan bahawa langit dunia iaitu langit yang terdekat dan yang dilihat oleh mata kasar manusia, diperhiasi dengan ‘pelita-pelita’. Yang dimaksudkan dengan pelita-pelita adalah bintang-bintang yang bertaburan di halaman langit itu. Bintang-bintang yang memiliki pelbagai bentuk dan warna itu, menjadikan langit serba indah apabila dipandang pada waktu malam. Jika tiada bintang pasti langit menjadi gelap gelita dan suram.

3. Di samping menjadi perhiasan bagi langit, bintang-bintang juga berfungsi sebagai alat pelempar syaitan yang cuba untuk mencuri dengar berita di langit. Berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyatakan bahawa syaitan yang mencuri dengar berita itu akan terkena lemparan api bintang dahulu sebelum sempat mereka memberitahu khabar tersebut kepada penduduk bumi. Menurut Qatadah, Allah menjadikan bintang untuk tiga tujuan sahaja iaitu sebagai perhiasan langit, alat pemanah syaitan dan penunjuk arah bagi musafir.

4. Imam Ibnu Kathir berpendapat, ayat “dan Kami jadikan bintang-bintang itu” tidak dituju kepada bintang yang beredar di langit semata-mata. Ini kerana sekali-sekala terdapat bintang yang meluncur dengan sangat laju yang dinamakan sebagai meteor ataupun tahi bintang. Api yang terhasil daripada pergeseran meteor dan udara itulah yang melempar syaitan-syaitan yang mengganggu manusia dalam menegakkan iman kepada Allah.

5. Rejaman dari bintang itu adalah balasan dunia terhadap syaitan. Namun, di hujung ayat ini, Allah menjelaskan bahawa Dia menyediakan balasan yang jauh lebih dahsyat di akhirat nanti buat syaitan dan para pengikutnya iaitu api neraka yang marak menjulang.

? Pengajaran:

1. Pandanglah kedamaian dan keindahan pada susunan bintang-bintang yang bertaburan umpama pelita serta kajilah ilmu astronomi bagi membangunkan tamadun manusia kerana hakikat sebenar ilmu tentang bintang di angkasa itu adalah jauh lebih luas dan lebih indah daripada yang dilihat oleh mata kasar. Sesungguhnya, manusia itu terlalu kerdil dan tidak sepatutnya merasakan dirinya hebat dan lebih daripada orang lain.

2. Jauhilah perbuatan melihat nasib melalui bacaan horoskop serta kepercayaan karut lain, seperti menganggap berdoa memohon hajat ketika tahi bintang melintasi langit (pancuran meteor) akan dimakbulkan. Perbuatan ini adalah termasuk dalam syirik yang boleh menjejaskan iman.

3. Sepatutnya, ketika menyaksikan pancuran meteor, ucapkanlah zikir yang mengagungkan Allah SWT sebagaimana yang dianjurkan oleh Imam An Nawawi dalam kitabnya Al Azkar. Diriwayatkan di dalam kitab Ibnu Sinni melalui Ibnu Mas’ud R.A. yang menceritakan: “Kami telah diperintahkan agar jangan mengikutkan pandangan kami kepada bintang yang jatuh (meteor), dan hendaknya kami mengucapkan doa berikut ini di saat tersebut:

مَا شَاءَ اللّٰهُ لاَقُوَّةَ اِلاَّ بِاللّٰهِ

“Inilah yang dikehendaki Allah, tidak ada daya dan upaya kecuali atas kehendak Allah.”

4. Berwaspadalah sentiasa dengan dosa-dosa yang kita lakukan kerana balasan Allah bukan hanya di dunia sahaja, malahan akan berterusan hingga ke akhirat dengan azab neraka yang jauh lebih dahsyat.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Al-Sa’di (Taisir al-Karim al-Rahman)
An Nawawi, Kitab Al Azkar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
27 Disember 2019 / 30 Rabi’ul Akhir 1441