Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 19)

2473
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 19

Ayat: 28-29 : Isyarat Kekuasaan Allah pada IlmuNya tentang Perkara Ghaib (ajal makhlukNya)

? Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ اَرَءَيْتُمْ اِنْ اَهْلَكَنِيَ اللّٰهُ وَمَنْ مَّعِيَ اَوْ رَحِمَنَاۙ فَمَنْ يُّجِيْرُ الْكٰفِرِيْنَ مِنْ عَذَابٍ اَلِيْمٍ

Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), – maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”.

قُلْ هُوَ الرَّحْمٰنُ اٰمَنَّا بِهٖ وَعَلَيْهِ تَوَكَّلْنَاۚ فَسَتَعْلَمُوْنَ مَنْ هُوَ فِيْ ضَلٰلٍ مُّبِيْنٍ

Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): “Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri, oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata”.

? Tafsir ringkas:

1. Dua ayat di atas ini ditujukan kepada kaum musyrikin atau kafir yang ingkar mengikut seruan dakwah Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menjawab kembali permintaan orang kafir kepada tuhan mereka yang mahu Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya terbunuh semuanya agar terhenti segala penyebaran kerja dakwah Islam. Lalu Allah SAW membantah perkataan mereka dengan sindiran dalam ayat 28 ini. Waima dengan ketiadaan Nabi Muhammad SAW dan orang-orang beriman atau baginda serta para pengikutnya diberi kekuatan dapat mengalahkan orang kafir, mereka tetap tidak akan dapat melarikan diri dari azab Allah.

2. Dalam ayat seterusnya, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk mengatakan kepada orang-orang kafir, bahawa baginda dan orang mukmin beriman hanya kepada Tuhan Yang Maha Pemurah yang sentiasa memberi nikmat kepada hamba-Nya, dan hanya kepada-Nya sahaja tempat berserah diri dan segala urusan di dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan manusia daripada sebarang bencana dan malapetaka. Pada hari yang pasti akan tiba nanti, mereka akan mengetahui siapa sebenarnya yang dalam kesesatan yang nyata, sama ada orang yang mengikut hawa nafsu dunia semata-mata atau orang yang sentiasa mencari keredhaan Allah SWT.

? Pengajaran

1. Musuh-musuh Islam akan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan agama Islam secara perlahan-perlahan. Pelbagai cara mereka lakukan untuk menghalang kerja-kerja dakwah Islam bagi memenuhi kepuasan mereka sendiri, serta mempersoalkan kebenaran Islam dengan hujah-hujah akal mereka. Maka, kita sebagai para pendakwah Islam, hendaklah sentiasa bersedia dengan hujah naqliyyah (Quran dan Sunnah) dan aqliyyah (logik akal) untuk membalas persoalan mereka.

2. Rahmat Allah SWT itu sangat luas; oleh itu sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada sebarang serangan musuh Islam, nescaya Allah akan menolong orang-orang yang menolong agama-Nya.

3. Sebagai muslim, kita mestilah sentiasa berusaha memperbaiki diri agar menjadi contoh dalam masyarakat. Kita juga mestilah berusaha menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam dengan cara menyebarkan ajaran Islam yang betul. Bantulah mereka untuk mengenali Islam yang sebenar kerana kebanyakan mereka hanya mengetahui sisi buruk Islam seperti yang diwar-warkan dalam media semasa.

4. Tegurlah orang di sekeliling kita dengan berhikmah. Jika mereka tetap degil, sindirlah secara halus dengan ancaman dan azab Allah SWT seperti cara Allah menegur orang kafir yang sesat di dalam ayat di atas.

? Rujukan: Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
10 April 2020 / 16 Sya’ban 1441