Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 15

3308
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 15

Ayat: 21-22 : Bukti Kekuasaan Allah pada Rezeki yang Dilimpahkan Buat Manusia

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَمَّنْ هَٰذَا ٱلَّذِى يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُۥ ۚ بَل لَّجُّوا۟ فِى عُتُوٍّ وَنُفُورٍ
Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).

أَفَمَن يَمْشِى مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِۦٓ أَهْدَىٰٓ أَمَّن يَمْشِى سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?

? Tafsir ringkas:

1. Ayat 21 adalah kesinambungan daripada ayat sebelumnya, yang bertujuan memberikan hujah menolak pegangan batil orang-orang kafir. Allah SWT menolak dakwaan orang kafir yang mengatakan bahawa sembahan mereka adalah sumber rezeki dan sumber segala kebaikan dalam hidup mereka. Walaupun mereka mengetahui hakikat sebenar bahawa sembahan mereka itu tidak mampu memberikan sebarang faedah buat mereka, namun mereka tetap berdegil dan terus menolak kebenaran.

2. Ayat seterusnya merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT yang membandingkan antara orang mukmin dengan orang kafir. Keadaan pertama, orang kafir dengan apa yang digelutinya adalah seperti orang yang berjalan di atas wajahnya, iaitu berjalan senget dan tidak normal. Dengan kata lain, dia tidak mengetahui ke mana dia berjalan dan tidak juga mengetahui ke mana dia harus pergi, bahkan mereka dalam keadaan malang, bingung dan tersesat. Keadaan kedua pula adalah keadaan orang beriman yang berjalan di atas jalan yang jelas lagi terang. Dia sendiri dalam keadaan tegak lurus, sedang jalannya pun lurus. Demikianlah perumpamaan mereka di dunia. Di akhirat kelak, orang mukmin akan didorong untuk berjalan normal di atas jalan yang lurus menuju ke syura yang luas, manakala orang kafir akan didorong untuk berjalan di atas wajahnya menuju ke neraka Jahannam.

? Pengajaran:

1. Binalah keyakinan dalam diri melalui ilmu bahawa tiada sumber rezeki yang lain kecuali dari Allah SWT, kerana hanya Dialah Yang Maha Melimpahkan rezeki kepada setiap makhluknya. Segala makhluk telah ditentukan rezekinya, inikan pula manusia yang memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

2. Ketahuilah bahawa kedudukan orang beriman dengan orang kafir adalah jauh berbeza. Pastikan setiap pilihan dalam kehidupan adalah dipilih dan ditentukan berdasarkan iman, dan bukannya atas dasar kepentingan dunia dan hawa nafsu semata-mata.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir Zilalil Quran Sayyid Qutb
3. https://ibnothman.com/quran/surat-al-mulk-dengan-terjemahan-dan-tafsir/3

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
13 Mac 2020 / 18 Rejab 1441