Home Kenyataan Media PAS Pahang

PAS mahu barisan EXCO K’jaan Negeri Pahang kekal

2390
SHARE

PAS melihat bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah berjalan dengan baik dan lancar, oleh itu menyokong penuh barisan EXCO sedia ada untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka pada masa ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan bahawa pihak beliau terutama semua wakil rakyat dari parti itu tidak akan menuntut jawatan EXCO hingga ke PRU15 walaupun ketika ini berlaku perubahan politik nasional.

“Kecuali jikalau sekiranya ada berlaku arahan daripada peringkat Perikatan Nasional di peringkat Pusat. Sekiranya ada arahan-arahan yang sedemikian, maka pihak kami akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri.

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita telah melihat perjalanan kerajaan negeri, pentadbiran pada ketika ini telah berjalan dengan baik dan lancar. Dan kami tidak berhasrat untuk mengganggu pentadbiran negeri Pahang pada ketika ini.

“Namun begitu kami bersedia untuk menyumbangkan buah fikiran, tenaga, serta khidmat kepakaran untuk kami menguruskan sama-sama menguruskan kerajaan negeri dengan lebih baik terutama sekali dalam agensi-agensi kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Pesuruhjaya PAS Pahang mengenai “Penyertaan PAS Dalam Kerajaan Negeri Pahang” secara siaran langsung, sebentar tadi.
Jelas ADUN Tanjung Lumpur itu, PAS juga tetap akan meneruskan peranan sebagai peranan semak dan imbang, walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri untuk kebaikan negeri dan juga rakyat Pahang.

Maklum beliau juga sebagai langkah permulaan, PAS akan melibatkan diri dalam pentadbiran di peringkat akar umbi melalui penyertaan dalam Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK) di seluruh negeri Pahang serta tawaran lain jika ada.

Ustaz Rosli juga menyifatkan gabungan Perikatan Nasional di Pahang adalah antara yang termantap sebagaimana telah ditunjukkan bermula di PRK Cameron Highlands di mana menyaksikan PAS memberi komitmen penuh memenangkan calon BN. – HARAKAHDAILY 11/3/2020