Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 14)

2741
SHARE


?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 14

Ayat: 20 : Bukti Kekuasaan Allah pada nikmat pertolonganNya buat manusia.

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي هُوَ جُنْدٌ لَكُمْ يَنْصُرُكُمْ مِنْ دُونِ الرَّحْمَٰنِ ۚ إِنِ الْكَافِرُونَ إِلَّا فِي غُرُورٍ

Atau siapakah dia yang menjadi tentera bagimu yang akan menolongmu selain daripada Allah Yang Maha Pemurah? Orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah dalam (keadaan) tertipu.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT mengajak manusia merenung kejadian burung yang berterbangan di angkasa sebagai salah satu bukti kekuasaan-Nya. Dalam ayat ini, sekali lagi Allah SWT mengajak manusia merenung dan berfikir tentang hakikat kekuasaan-Nya.

2. Allah SWT menempelak orang kafir dengan menimbulkan persoalan, adakah mana-mana tentera atau penolong yang boleh menahan sesuatu keburukan daripada berlaku ke atas mereka? Hakikatnya tiada sesiapa pun yang dapat membantu mereka kecuali Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang itu.

3. Dalam ayat ini, Allah menggunakan namaNya Arrahman sebagai isyarat bahawa sesungguhnya walaupun manusia hidup di muka bumi ini dalam keadaan kufur dan zalim, rahmat Allah masih bersama mereka di dunia ini kerana rahmat Allah tersangat luas meliputi tiap-tiap sesuatu. Walaupun manusia memilih untuk syirik dan ingkar kepada Allah, namun Allah masih memberi mereka rezeki, kehidupan, anak pinak, sahabat handai dan segala sesuatu yang diingini, Maha Pengasihnya Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Namun, di akhirat kelak mereka akan dikenakan azab atas kelalaian dan keingkaran mereka dan pada ketika itu tiada sesiapa pun yang mampu menolong mereka melainkan Allah sahaja yang layak memberi pertolongan.

4. Di akhir ayat ini, Allah menyatakan bahawa sesungguhnya orang kafir telah terpedaya oleh syaitan kerana menyangka bahawa azab tidak akan menimpa mereka sama sekali.

? Pengajaran

1. Kita selaku orang yang beriman kepada Allah SWT seharusnya sentiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh-Nya. Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah terhadap hamba-Nya di dunia ini tiada tandingan. Maka, bagi menzahirkan rasa syukur tersebut kita sepatutnya berusaha sehabis daya melaksanakan segala perintah-Nya dan mencegah diri daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah serta melaksanakan tugas sebenar penciptaan kita di muka bumi ini iaitu menjadi khalifah Allah.

2. Seorang individu Muslim perlu meyakini dengan sepenuh hati akan adanya hari kebangkitan dengan menterjemahkan keyakinan tersebut melalui perbuatan dengan mencegah diri daripada melakukan maksiat serta terus beramal dengan segala macam kebaikan bagi meraih pahala yang akan menyelamatkannya daripada azab seksa Allah. Jangan terpedaya dengan hasutan syaitan bahawa tentera, kaum keluarga atau sahabat handai boleh membantu menolak azab ke atas kita. Di dalam surah Az-zukhruf ayat 67, Allah menceritakan bahawa pada hari Akhirat kelak teman rapat atau sahabat karib akan bermusuhan dan saling salah menyalahkan di antara satu sama lain kecuali orang-orang yang persahabatan mereka berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). Maka, yakinlah kita bahawa segala penguasaan dan pertolongan di alam akhirat kelak secara mutlak adalah milik Allah SWT sahaja.

3. Janganlah kita menjadi penolong kepada kaum kuffar yang menentang Islam kerana kelak golongan kuffar ini turut menyangka bahawa kita akan menjadi penolong mereka. Sedangkan waktu itu kita jua tiada penolong melainkan segala amal soleh yang dilakukan secara ikhlas hanya kerana Allah. Justeru, gunakan kesempatan hidup yang dikurniakan oleh Allah ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh berterusan yang boleh membantu kita menempuh suasana di padang mahsyar dan alam akhirat yang kekal abadi.

? Rujukan: Tafsir Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 Mac 2020 / 11 Rejab 1441