Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Laksanakan Peralihan Kuasa Kerajaan Melaka Dengan Cermat

1217
SHARE

Khabarnya majlis angkat sumpah perlantikan Ketua Menteri Melaka yang dijadualkan berlangsung petang ini ditunda ke satu tarikh lain. Menurut sumber sehingga sekarang siapa yang dipersetujui secara majoriti oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk menjadi CM masih belum dapat dimuktamadkan.

Harapnya kemelut ini dapat diselesaikan segera dengan cara mesyuwarah dan tolak ansur. Saya percaya pimpinan PN Melaka sentiasa mengutamakan rakyat dalam sebarang keputusan yang bakal dibuat. Rakyat mengharapkan satu kerajaan yang jauh lebih baik dari kerajaan-kerajaan yang terdahulu.

Saya percaya semua pimpinan PN Melaka faham bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai segala tindakan mereka dalam menangani kemelut ini. Saya juga percaya bahawa pimpinan PN Melaka faham bahawa sekiranya kerajaan PN berjaya dibentuk pada kali ini ia bukan sesuatu yang terjamin kekal selamanya.

Ini adalah kerana sampai masanya kita akan bertemu juga dengan pilihanraya. Pada masa itu kuasa rakyat adalah segala-galanya. Saya percaya dari pengalaman yang telah kita lalui kita semua cukup faham tentang kuasa rakyat ini. Rakyat makin cerdik dalam menggunakan kuasa yang mereka ada.

Kerajaan baru Melaka di bawah PN harus menjadi kerajaan yang disayangi rakyat, tidak sombong, tidak melakukan salah guna kuasa, sentiasa ikhlas membantu rakyat dan tidak sibuk berpolitik seperti kerajaan PH dahulu yang akhirnya menyebabkan rakyat muak dan mual.

Saya sebagai salah seorang rakyat di Negeri Melaka ini sentiasa mendoakan agar semua pimpinan PN diberi taufik, hidayah dan panduan oleh Allah swt untuk membuat percaturan yang terbaik demi masa depan umat Islam dan seluruh rakyat Negeri Melaka.

Sebagai seorang ahli PAS saya percaya pembentukan kerajaan Melaka ini akan menguatkan lagi hubungan antara dua parti Melayu ini sebagai rakan baik, bukan sahaja rakan semasa susah tetapi juga semasa senang.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka