Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Keutamaan Untuk Kestabilan Kerajaan

1072
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

KEUTAMAAN UNTUK KESTABILAN KERAJAAN

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada semua pihak untuk memberhentikan sebarang spekulasi mengenai pembentukan kabinet dalam agihan jawatan antara parti-parti yang terlibat dalam Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan baharu pada hari ini di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia ke-8. Spekulasi tersebut tidak menambahkan manfaat kerana fokus utama sekarang ialah kestabilan kerajaan bagi pemulihan negara selepas kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

2. Rakyat sendiri sudah muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan yang sebelum ini melibatkan percakaran antara parti-parti dalam komponen PH yang akhirnya membawa kepada kemelut negara yang melanda khususnya selepas perletakan jawatan oleh Tun Mahathir. Sehubungan itu, kerajaan baharu yang dibentuk menerusi Perikatan Nasional (PN) perlu mengorak langkah yang lebih baik dengan tidak mengurangi kesilapan kerajaan PH.

3. Ketegasan YAB PM dalam kenyataan media mengenai lantikan individu dalam kabinet dengan mengambil kira rekod bersih, integriti dan layak adalah satu jaminan yang perlu disokong sepenuhnya. PAS juga menerusi kenyataan media Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS juga menekankan aspek yang lebih kurang sama. Dasarnya ialah bukan siapa tetapi kriteria kewibawaan lantikan seseorang dalam Kabinet Malaysia bagi merealisasikan agenda utama negara untuk maslahat rakyat umum serta memperkasakan kekuatan ekonomi negara dengan lebih baik.

4. PN dilihat sebagai gabungan kerjasama parti politik yang kuat untuk menyelamatkan negara dari ancaman ideologi komunisme yang mesra dengan pimpinan DAP apabila sebelum ini terzahir cubaan bagi membangkitkan kembali ideologi komunisme menerusi pelbagai medium seperti komik yang tersebar di sekolah-sekolah serta majlis sambutan memperingati perjuangan Parti Komunis Malaysia (PKM) yang menghimpunkan waris dari keluarga tentera PKM. Pastinya ideologi ini perlu disekat dan dihalang dari muncul kembali dan itulah hasrat umum rakyat Malaysia yang meletakkan harapan kepada PN bagi menerajui pentadbiran negara kali ini.

5. DUPP menegaskan polemik dan politik murahan yang masih lagi dimainkan oleh pihak yang tidak berpuas hati seperti himpunan bantahan terhadap keputusan lantikan PM ke-8 oleh YDPA serta naratif negatif bertanda pagar #notmypm dan istilah manipulasi iaitu “kerajaan pintu belakang” hanya mengundang kekeruhan suasana politik negara sahaja. Tindakan seumpama ini hakikatnya hanyalah mencabar ketertinggian Perlembagaan yang sedia ada dan punca kuasa yang diberikan kepada YDPA dalam kemelut isu yang telah berlaku selama seminggu baru-baru ini.

6. Dalam suasana perubahan kerajaan yang berlaku di peringkat Pusat serta memberikan kesan kepada beberapa buah negeri yang lain seperi Johor, Melaka, Perak dan Kedah diharapkan keutamaan sekarang ialah kestabilan kerajaan agar rakyat tidak menjadi mangsa buat kali kedua. Ahli politik perlu bertindak secara matang dan patuh terhadap keputusan yang melibatkan titah pihak Istana bagi memastikan kestabilan kerajaan dalam keadaan terkawal.

7. Selain itu, DUPP melihat pada negeri yang tidak terkesan dengan perubahan politik yang sedia ada ini seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Perlis hendak diteruskan mandat yang diperolehi semasa PRU 14 sehingga berlakunya PRU 15 yang akan datang. Gerak kerja yang sedia ada perlu diteruskan dengan setiap parti yang memerintah negeri-negeri tersebut terus memperkasakan gerak kerja kebajikan dan kurangkan mengheret rakyat dalam kancah perdebatan yang hanyut tanpa sebarang faedah.

8. DUPP konsisten bahawa fokus utama sekarang ialah pemulihan negara khususnya yang melibatkan isu hak umat Islam dan melayu yang telah diusik oleh DAP sebelum ini. Justeru, fokus utama ialah pentadbiran yang stabil bukannya perebutan agihan jawatan yang mana ja diserahkan kepada kebijaksanaan YAB PM untuk melantik.
Sekian.

Firman Allah SWT :

قَالَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا یَـٰۤأَبَتِ ٱسۡتَـٔۡجِرۡهُۖ إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ

Maksudnya :
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. – [Surah Al-Qasas 26]

Sekian.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat