Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Ahzab: Siri 9)

1049
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 9

Ayat: 24-25 : Kejayaan Orang Mukmin dan Kekalahan Orang Kafir dan Munafik.

? Firman Allah serta terjemahannya:

لِّیَجۡزِیَ ٱللَّهُ ٱلصَّـٰدِقِینَ بِصِدۡقِهِمۡ وَیُعَذِّبَ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ إِن شَاۤءَ أَوۡ یَتُوبَ عَلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا

(Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki, atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

وَرَدَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِغَیۡظِهِمۡ لَمۡ یَنَالُوا۟ خَیۡرࣰاۚ وَكَفَى ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱلۡقِتَالَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ قَوِیًّا عَزِیزࣰا

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT memberi gambaran tentang sikap orang beriman yang sentiasa sabar dan thabat atas keimanan mereka di samping sentiasa menjadikan Nabi SAW sebagai qudwah dan rujukan dalam berhadapan dengan ujian di medan Ahzab ini.

2. Lanjutan daripada itu, dalam ayat ke 24 ini pula Allah SWT menjelaskan hikmah daripada segala ujian dan peristiwa yang berlaku dalam perang Ahzab ini, iaitu untuk menguji dan membalas mereka dengan balasan yang setimpal dengan tindakan mereka ketika di dunia. Bagi orang yang membenarkan janji mereka kepada Allah SWT mereka akan mendapat balasan baik yang selayaknya. Manakala bagi orang munafik pastilah akan mendapat azab yang setimpal. Walau bagaimanapun, Allah SWT Maha Pengampun dan sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang bertaubat.

3. Hanya dengan kekuasaan dan kemuliaan Allah SWT sahajalah, akhirnya tentera Ahzab diusir keluar dari Madinah tanpa mereka mendapat sebarang faedah atau kemenangan daripada peperangan ini. Mereka hanya mendapat kerugian dan rasa geram kerana tidak mendapat apa-apa daripada pengepungan kota Madinah itu. Hal ini menunjukkan betapa Allah SWT telah memberikan kemenangan yang sangat besar kepada orang Islam. Ibn Kathir menyatakan ayat ini sebagai isyarat pengakhiran penentangan musyrikin Quraisy terhadap orang Islam secara peperangan, dan itulah yang benar-benar berlaku. Bahkan orang Islam yang kemudiannya berjaya menawan mereka dalam peristiwa Fathu Makkah.

? Pengajaran

1. Dalam keadaan cemas dan getir, umat Islam mesti berpegang teguh dan yakin terhadap janji Allah dan RasulNya, kerana hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sebagai hambaNya, seharusnya kita berusaha dengan sepenuh kemampuan dan seterusnya bertawakkal kepada Allah SWT.

2. Allah SWT Maha Kuat lagi Maha Kuasa. Mudah sahaja bagi Allah untuk menumbangkan angkatan tentera kafir. Perbanyakkanlah berzikir dengan nama-nama Allah SWT sebagai cara memohon keredhaan dan pertolonganNya dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia ini.

3. Pohonlah keampunan dan taubat kepada Allah SWT sebagai tanda kehambaan dan ketundukan kepadaNya. Allah SWT pasti memberi kemenangan kepada kaum muslimin. Kalaupun bukan kemenangan di dunia, Allah SWT pasti memberikan kemenangan yang kekal abadi di akhirat kelak.

? Rujukan:
1.Tafsir Al Munir
2. Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
2 Mei 2020 / 9 Ramadhan 1441