Home Berita PAS Melaka

Puhat Zahir Penghargaan Semua Sukarelawan KM Melaka Hasil PPE Lawan Covid-19

717
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

AYER KEROH : Pengerusi Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol menzahirkan penghargaan kepada petugas sukarelawan yang bertungkus-lumus berusaha menjayakan projek menghasilkan Alat Pelindung Diri (PPE) bagi kegunaan frontliner.

Di bawah panji Khidmat Malaysia (Melaka), pelbagai sayap sukarelawan seperti Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat, Ameerah, Jabatan MusMedik (Muslimat Medical Team), Nusaibah, Lajnah Kebajikan PAS Melaka serta beberapa NGO lain akan bergerak di bawah satu penyelarasan secara pengarahan berpusat dan bersistematik.

Pada satu Majlis Apresiasi yang diadakan di Bilik Seminar Ayer Keroh di sini semalam, Puhat menyifatkan tugasan sukarelawan sememangnya kurang dilihat orang ramai akan pengorbanannya, namun sukarelawan harus yakin bahawa tugasan belakang tabir ini merupakan tunjang kekuatan bagi Khidmat Malaysia.

Menurut beliau, Majlis Apresiasi ini adalah inisiatif untuk memberi penghargaan dengan cara pemberian sijil serta sedikit cenderahati atas jasa bakti mereka tanpa mengira masa dan tenaga yang tidak mengira lelah secara percuma.

‘’Allah mengizinkan KM terus bergerak bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dengan lancar dan sempurna. KM sepanjang bencana Covid-19 sehingga kini telah menyiap menyumbangkan lebih 4500 set PPE yang telah diagihkan kepada hospital-hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin di seluruh Melaka dan beberapa tempat di Johor.

‘’KM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah banyak membantu dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada kami. Tanpa sumbangan daripada semua, pastinya aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Semoga segala sumbangan ini menjadi saham yang besar buat penyumbang di akhirat kelak.

‘’Sekalung penghargaan juga kepada para sukarelawan KM dan Sukarelawan dari NGO Kesihatan PAPISMA Melaka yang sentiasa ceria, aktif dan komited dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan pada setiap aktiviti yang telah dirancang. Harapan dari kami supaya pengalaman dan ilmu yang ditimba bersama kami ini dapat membentuk personaliti diri yang lebih mantap untuk rohani dan jasmani.’’Ujarnya lagi.

Majlis tersebut dimulai dengan taklimat ringkas oleh Pengerusi Majlis, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi PAPISMA Melaka, Dr. Amir Al-Amin, ucapan Pengarah Khidmat Malaysia Melaka dan ucapan tetamu kehormat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik seterusnya penyampaian sijil juga cenderahati kepada wakil-wakil petugas yang hadir.

Projek ini akan berterusan sepanjang PKP dan bagi mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank – 1540 2633 5344 atas nama Badan Perhubungan PAS Melaka.

Sebarang urusan atau ingin menjadi sukarelawan KM boleh berurusan dengan Pengerusi Khidmat Malaysia Melaka, Muhamat Puhat  Bedol di talian 019-6679010.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)