Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab : Siri 29

1178
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab : Siri 29

Ayat 69-71 : Seruan Buat Orang-Orang Beriman Dalam Etika Percakapan

Firman Allah serta terjemahannya

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ ءَاذَوۡاْ مُوسَىٰ فَبَرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُواْۚ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيهٗا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَقُولُواْ قَوۡلٗا سَدِيدٗا

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),

يُصۡلِحۡ لَكُمۡ أَعۡمَٰلَكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ فَازَ فَوۡزًا عَظِيمًا

Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

Tafsir ringkas

1. Ayat sebelum ini menyatakan tentang penyesalan dan doa ahli neraka. Ayat-ayat ini pula Allah ‎SWT menceritakan tentang ucapan yang benar dan tawaran bersyarat daripada Allah ‎SWT.

2. Allah SWT memperingatkan orang-orang beriman agar tidak mencaci dan mencerca Nabi Muhammad SAW sebagaimana dilakukan oleh Bani Israel kepada Nabi Musa AS. Beliau adalah orang yang sentiasa dikabulkan doanya di sisi Allah kerana setiap kali beliau memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah memperkenankannya. Apa yang dimaksudkan dengan menyakiti Nabi Musa AS adalah dengan tidak mengikut arahan beliau dan memberikan pelbagai alasan serta main-main sahaja apabila diarahkan olehnya.Nabi Musa AS boleh dikatakan Nabi paling utama dalam Bani Israil kerana beliaulah yang terlibat mengeluarkan mereka daripada cengkaman perhambaan Firaun di Mesir. Tetapi bayangkan betapa teruknya mereka, dengan Rasul yang menyelamatkan mereka pun mereka tidak hormat malah menyakitinya pula. Kalimah وجيه bermaksud seseorang yang mempunyai kedudukan yang terpuji. Dan kalimah عِندَ اللهِ bermaksud doa Nabi Musa AS dimakbulkan oleh Allah SWT kerana beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di sisiNya.

3. Allah SWT mengingatkan orang beriman agar mengucapkan perkataan yang benar, iaitu kalimah ‘Tidak ada Tuhan selain Allah’, perkataan yang jujur, tidak pula menyimpang. Perkataan yang benar termasuklah membaca Al Qur’an, berzikir, beramar ma’ruf dan bernahi mungkar, mempelajari ilmu dan mengajarkannya, berusaha sesuai dengan kebenaran dalam pelbagai masalah ilmiah, menempuh jalan yang mengarah kepadanya serta galakan yang dapat membantu kepadanya. Perkataan yang benar juga adalah ucapan yang lembut dan halus ketika berbicara dengan orang lain dan berbentuk nasihat dan isyarat kepada yang lebih membawa kebaikan.

4. Allah juga menjelaskan bahawa jika orang-orang beriman bertakwa kepadaNya dan mengucapkan perkataan yang benar, Allah SWT akan memberi pahala dengan memperbaiki amal perbuatan dan menerima semua amal mereka. Allah SWT mengurniakan mereka taufik untuk mengerjakan amal-amal yang soleh, menjaga amal tersebut daripada yang merosakkannya, menjaga pahalanya dan melipatgandakannya. Ayat ini juga adalah anjuran untuk taat kepada perintah Allah dan Rasul. Kemenangan yang besar itu adalah nikmat dimasukkan ke dalam syurga.

Pengajaran :

1) Jangan menyakiti orang lain hanya kerana tidak sekepala atau sependapat dengan kita melalui kata-kata yang berbentuk cercaan dan cacian.

2) Taatlah kepada Allah dan perintahNya tanpa banyak soal atau helah.

3) Selalulah berkata benar dan baik dalam pergaulan sesama manusia, mudah-mudahan Allah SWT memudahkan jalan untuk memperbaiki amalan dan mengampuni dosa-dosa yang telah lalu.

Rujukan
1) Tafsir Ibnu Katsir
2) Tafsir Fizilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
22 Mei 2020 / 29 Ramadhan 1441H