Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 41/2018

1252
SHARE

?? *Tadabbur Al Quran* ??
_Siri 41/2018_

*Surah Al Fussilat: Ayat 33-36: Kelebihan Berdakwah*

? *Firman Allah serta terjemahannya:*

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣)

_”Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘ Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)? ‘ “_

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٣)

_Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib._

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (٣٥)

_Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar._

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)

_Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu godaan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sungguh, Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui._

? *Tafsir ringkas:*

1. Ayat-ayat yang mulia ini berupa satu isyarat menunjukkan beberapa perkara penting, iaitu:

i) Berdakwah mengajak manusia kepada Allah dan beramal soleh adalah pekerjaan yang paling baik di sisi-Nya.

ii) Antara sifat _da’ie_ (pendakwah) ialah mampu membezakan antara baik dan buruk dan membalas keburukan dengan kebaikan. Hanya yang memiliki kesabaran yang mampu melakukannya.

iii) Peringatan dari Allah tentang was-was syaitan agar selalu berlindung kepada Allah dari pengaruh dan godaan syaitan.

2. Para _da’ie_ sebenarnya menjejaki jalan-jalan para rasul. Semua _da’ie_ itu merangkumi, yang pertama pastinya para rasul, para muazin, para pendakwah muslim sama ada melalui lisan ataupun tulisan di setiap tempat dan waktu. Semua kita adalah _da’ie_ dan wajib menjalankan tugas tersebut.

2. Amal soleh adalah apa sahaja pekerjaan yang diusahakan bagi menjalankan kewajipan kepada Allah sebagai hamba Allah, serta menjauhi segala yang diharamkanNya.

3. Menjadikan Islam sebagai agama dan manhaj. Tiada satu pun ajakan, kepercayaan dan jalan penyelesaian yang lebih baik selain ISLAM.

? *Pengajaran*

1. Berusahalah menyahut seruan Allah agar ada niat dan kehendak untuk menjadi pendakwah. Tiada perkataan yang lebih baik dari Al-Quran. Berdakwah mengajak taat dan mengesakan Allah SWT lebih baik dari ajakan yang lain.

2. Seorang _da’ie_ mestilah beramal dan menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia. Apabila berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai respon dengan apa yang dibawa, banyakkan bersabar dan perkuatkan kesabaran.

3. Jadilah pendakwah yang bahagia dengan kerja ini. Apabila orang mencampakkan ‘sampah’ maka kalian balaslah dengan ‘bunga’. Berkeyakinan penuh kepada Allah serta ikhlas beramal keranaNya. Ganjaran dariNya lagi hebat dari ‘bunga’ itu.

4. Membawa pendekatan yang *matang dan sejahtera* dalam misi dakwah akan memberi impak yang berkesan hatta boleh menarik orang menerima seruan kita sehinggakan mereka yang bermusuhan dengan kita pun akhirnya mungkin akan menjadi pendokong kuat dan bersama-sama menjunjung risalah Islam ini.

5. Namun sentiasalah berwaspada, jika hati manusia boleh kita lunakkan dengan dakwah yang bijaksana, di sana ada syaitan yang tidak pernah alpa bagi memastikan kegagalan dakwah ini.

6. Jangan pandang ringan dengan wirid dan doa pelindungan yang boleh menjadi perisai diri dari perdayaan dan gangguan syaitan laknatullah. Pastikan para daie ada amalan dan wirid khusus ini yang dibuat secara konsisten setiap hari pagi dan petang seperti _mathurat_, _hizbul bahar_, _manzil_, munajat pejuang dan sebagainya

? *Rujukan*:
Tafsir Al-Munir

*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_11 Mei 2018_ / _25 Sya’ban 1439_