Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Teruskan Langkah Seorang Pejuang dan Pendakwah

1151
SHARE

Teruskan Langkah Seorang Pejuang dan Pendakwah

Allah SWT berfirman:

‎قُلِ اللّٰهُمَّ مٰلِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِى الْمُلْكَ مَنْ تَشَآءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَآءُ ۖ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَآءُ ۗ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۗ اِنَّكَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Ali ‘Imran 3: Ayat 26)

Alhamdulillah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 telah melabuhkan tirainya. Saat Parlimen diumumkan bubar hingga ke Hari Penamaan calon, kemudian tempoh berkempen dan 9 Mei 2018 telah menterjemahkan bahawa kuasa rakyat dalam memilih adalah sangat menakjubkan.

Di kesempatan ini, saya mewakili Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua jentera parti dari semua peringkat yakni peringkat cawangan, kawasan serta negeri.

Tahniah buat jentera negeri Kelantan dan Terengganu. Kelantan kekal pertahankan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Terengganu berjaya menawan semula daripada Barisan Nasional. Kebangkitan rakyat memilih PAS meningkat dengan majoriti besar dan banyak kerusi dimenangi PAS di Kedah dan Pahang. Ini petanda baik dan insyaallah untuk PRU akan datang.

Kepada seluruh petugas syabas dan tahniah diucapkan buat semua yang telah bergerak kerja sama ada secara langsung dan tidak langsung, segala komitmen yang tidak putus dari awal hingga akhirnya, moga Allah melipatgandakan pahala kalian.

Kami Muslimat PAS Malaysia juga ingin memberikan penghargaan kepada para sukarelawan dari dalam dan luar negara yang turut sama-sama membantu gerak kerja khususnya menggunakan medium Media Baru. Alhamdulillah syukur ya Allah, Kau hantarkan bantuan tangan-tangan yang tidak disangka. Semoga segala amal yang diberikan, Allah balas dengan penuh kebaikan dan pahala yang berpanjangan.

Ingatlah PAS bukanlah jamaah politik semata, tetapi juga tarbiyah dan dakwah. Teruskan perjuangan. Menang tak megah kalah tak rebah InsyaAllah!

Tahniah kepada bakal Yang Berhormat, tetap teguh dengan prinsip PAS mendaulatkan Islam dan menegakkan syariah di bumi Malaysia.

Akhir kalam, memetik kata Syahid Hasan al Banna “Saudaraku, Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin, dan impian hari ini adalah kenyataan di hari esok. Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, meskipun fenomena-fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat…”

Teruskan langkah dalam perjuangan ini. Sungguh berjuang itu memang payah kerna hanya insan terpilih yang mampu mengharunginya. Ayuh perkemaskan tarbiyyah, dakwah dan siasah kita kerana kita semua adalah Daie.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia

11 Mei 2018
25 Syaaban 1439 H