Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Tabung Haji : Tamatkan Polemik, Beri Jawapan Dan Jaminan

1009
SHARE

“TABUNG HAJI: TAMATKAN POLEMIK, BERI JAWAPAN DAN JAMINAN

1.       Kerajaan dipohon untuk segera meredakan kebimbangan umat Islam negara ini, khususnya 9.4 juta pendeposit Tabung Haji yang amat memerlukan maklumat sebenar dan telus mengenai institusi tersebut. Tabung Haji sejak sekian lama telah menjadi jantung hati umat Islam di negara ini yang juga antara simbol kekuatan harta dan pemilikan.

2.       Tetapi mutakhir ini terutamanya sedari awal tahun lagi, Tabung Haji seakan diheret ke kancah politik yang dilatari pertembungan dan polemik. Ianya merencahkan kegusaran umat Islam Malaysia dan sedikit sebanyak menggoyahkan kepercayaan mereka. Pun begitu institusi ini teramat penting bagi umat Islam untuk kekal bertahan dan dipertahankan.

3.       PAS berusaha mengajak umat Islam negara ini untuk teguh bersama menyokong dan mendukung Tabung Haji. Tetapi tidak selamanya PAS dapat memujuk mereka supaya meyakininya. Jaminan kerajaan serta penjelasan terhadap status kedudukan semasa Tabung Haji termasuk usaha-usaha peneguhannya mesti sedia dikongsikan secara terbuka dengan rakyat.

4.       PAS mencadangkan, supaya Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung di Parlimen ketika ini menjadi kesempatan dan medan terbaik pimpinan kerajaan termasuk pembangkang sama-sama membincangkannya. Juga laporan berkaitan dapat dibentangkan dengan telus dan bertanggungjawab sebagai penjelasan rasmi kepada semua.

5.       Sekadar cabar-mencabar dan memenuhkan dada akhbar dengan pelbagai dakwaan hanya masih mengekalkan umat Islam khususnya para pendeposit sebagai ‘mangsa’. Sedangkan rakyat mahukan jawapan dan kepastian bahawa ‘rasa kepunyaan’ mereka terhadap Tabung Haji adalah terjamin selamat dan hak mereka bersama masa depan tidak terusik.

6.       Sebarang kemungkinan yang mundur apatah lagi merosakkan perlu diakui akan meruntuhkan motivasi pendeposit kerana ianya berhubung hal ibadah yang rukun lagi berkait faktor spiritual. Secara umumnya, rakyat begitu memerhati dan menilai keadaan Tabung Haji, namun berbaur maklumatnya dengan pelbagai penyataan yang sensasi.

7.       Sejak beberapa tahun ini, hasil atau keuntungan bersihnya semakin berkurang dengan tahun lalu (2019) hanya RM3.2 bilion sahaja. Apatah lagi dengan pertukaran kerajaan berbangkit isu-isu ketidakwajaran dan keraguan terhadap pemberian hibah; penyusutan nilai aset; penjualan aset-aset di bawah nilai sebenar; pemindahan aset tidak berdaya saing; salah laku, salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya.

8.       Atas pelbagai skandal yang didakwakan, status Tabung Haji telah dilihat umum sebagai isu penuh manipulasi. Kegusaran rakyat yang selama ini melihatnya sebagai pelaburan berhemah telah menjadi persepsi dan kekhuatiran ia akan melebur dan lemah. Antaranya walaupun diakui tidak berlaku jualan kepada bukan-Islam, tetapi rakyat melihat ia terdedah berlaku secara tidak langsung.

9.       Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sendiri ‘mendedahkan’ pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah dipindah ke Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) melalui kelulusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof. Tetapi Mujahid pula bernada menyangkal.

10.   Umat Islam juga merasa pelik antaranya terhadap proses rasionalisasi syarikat 73.84 peratus milik Tabung Haji antaranya TH Plantation Bhd (THP) kononnya tidak mempamerkan prestasi mengikut jangkaan. Ini belum termasuk isu 1.568 ekar tanah di TRX dan ekuiti lain. Lebih terkejut dengan empat Hotel TH yang dilepaskan kepada syarikat milik (SPV) Kementerian Kewangan di mana ketika itu diketuai oleh Lim Guan Eng. Sedangkan masing-masing hotel tersebut merekodkan keuntungan.

11.   Sekali gus ia mengundang dan mencetus tanda tanya hingga mengusik sentimen perolehan atau urusan hukum halal haram diperdebatkan dalam diri pendeposit khususnya dan umat Islam negara ini amnya. Apatah lagi pendedahan terbaharu yang mengejutkan apabila dinyatakan Tabung Haji sudah dua tahun (2018 dan 2019) tidak diaudit atau dibentang laporan kewangannya.

12.   Tentunya ia membesarkan lagi skeptikal awam yang boleh meruntuhkan reputasi dan wibawa terhadap Tabung Haji. Bagaimana tanpa audit, badan berkanun ini boleh beraktiviti menerima deposit, melakukan pelaburan, mengadakan penjualan dan melaksanakan pindahan? Merungkai semua isu ini, PAS bersetuju Jawatankuasa Khas Kerajaan atau seangkatannya ditubuhkan demi siasatan telus dan bebas.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Kamaruzaman Bin Mohamad
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat
30 Zulkaedah 1441 | 21 Julai 2020