Home Berita PAS Kedah

Syukur Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah akhirnya berwajah baharu

528
SHARE

Oleh TASNIM MUSTAFFA

ALOR SETAR, 17 Jul 22 – Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi menzahirkan rasa syukur selepas Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah akhirnya berwajah baharu memandangkan kerja naik taraf pusat itu sudah siap sepenuhnya.

Katanya, dua tahun lalu sewaktu pertama kali beliau dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah beliau terkilan melihat keadaan mercu tanda Islam Kedah yang terletak di Ibu Negeri itu seakan tidak terpelihara.

“Kaki saya terpaku, mulut saya tergamam, hati saya bercampur baur bak dirobek kemarahan kerana ketika itu terpapar keadaan Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah dalam keadaan yang sangat daif.

“Mata saya terpana ke arah syiling, titisan air hujan masih membasahi ruangan solat hingga menimbulkan suasana suram dan tidak lagi meriah seperti dahulu kala,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa syukur, selama tempoh dua tahun ini satu per satu bahagian Pusat Dakwah telah dinaiktaraf khususnya kemudahan awam sehingga banyak pembaharuan dan alternatif dapat dilaksanakan.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah kerana berjaya menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.

“Agenda memartabatkan pusat dakwah tidak terhenti di sini, bahkan, lebih banyak perkara yang akan diperkasakan dalam membangunkan ummah,” katanya.