Home Berita PAS Kelantan

SYABAS ’22 serlahkan potensi deklamator muda

77
SHARE

PASIR MAS, 12 September: Sayembara Deklamasi Puisi Piala Ahli Parlimen Pasir Mas 2022 (SYABAS ’22) berjaya memunculkan anak muda sebagai bintang deklamator puisi melalui 19 peserta yang mara ke pentas akhir.

Acara anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas dan Jabatan Penerangan Pasir Mas dengan kerjasama Unit Media dan Kesenian KITABINA itu terbukti berjaya mencungkil bakat sekali gus menyerlahkan potensi anak muda Kelantan khususnya di Pasir Mas dalam bidang seni improvisasi puisi.

Deklamator Kebangsaan selaku juri pertandingan, Norzailani Mohd Nuzi mengakui kehebatan bakat-bakat baharu yang berpotensi besar untuk diketengahkan seperti Johan Kategori Sekolah Menengah, Muhammad Amir Wafiy Amsyari, 15, yang memperolehi 75 markah disusuli Juara Kategori Khas, Ain Tasnim Ahmad Fadhli, 9, yang meraih 70 markah.

“Markah penjurian sengaja diletakkan pada aras tinggi berdasarkan kriteria dan standard peringkat negeri untuk dinilai kebolehan maksimum deklamator amatur ini. Keyakinan dan keberanian mereka berekspresi pada usia yang sangat muda amatlah dipuji dan wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib untuk terus mengasah bakat mereka sebagai pelapis deklamator profesional pada masa depan,” komennya.

Hal tersebut dipersetujui oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Rozaini Abdullah. selaku juri gandingan.

Katanya, tindakan penganjur amat bijaksana dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran deklamator cilik apabila buat julung kali SYABAS ’22 berjaya menampilkan muka-muka baharu sebagai bintang deklamator dari bangku sekolah rendah, remaja, belia hinggalah ke kategori dewasa.

“Melalui pertandingan sebegini, peserta belajar menguasai daya hafalan yang diseimbangkan dengan emosi, intonasi dan gaya yang sangat bagus dalam membantu mematangkan keterampilan mereka khasnya di peringkat usia belia, sekolah menengah dan sekolah rendah,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari pula mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang dan berharap semua peserta dan hadirin menghayati mesej yang disampaikan melalui bait-bait puisi bertema kemerdekaan agar kecintaan terhadap tanah air tidak berbelah bahagi.

“Kita mahu generasi baharu tahu betapa peritnya nenek moyang kita mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kita bersyukur kerana masih boleh memimpin negara dan negeri sendiri dengan syiar Islam teguh dimartabatkan. Oleh itu, Parlimen Pasir Mas mengambil inisiatif mempelopori pertandingan ini dan berhasrat menjadikan Pasir Mas sebagai hub pembekal jaguh deklamator. Kita juga merancang untuk mengadakan pertandingan pidato kenegaraan pula,” katanya semasa merasmikan acara yang dijalankan serentak dengan Merdeka@Parlimen, di Madrasah Nasrullah Pohon Buloh pada 10 September.

SYABAS ’22 turut menobatkan Juara Kategori Umum dimenangi Noor Hasmah Ismail, 51, dari Kampung Pohon Celagi.
Manakala Saadah Mah Hassan, 32, dari Kampung Perah Slow Machang pula mengungguli Kategori Belia dan deklamator cilik Nur Rania Humaira Mazlan, 8, menjuarai Kategori Sekolah Rendah.

Para pemenang membawa pulang wang tunai, sijil penghargaan dan Piala SYABAS ’22 bermotif gubahan pucuk rebung.