Home Berita PAS Melaka

Survey – jangan terpukau dengan peniup seruling Hamelin

529
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini gabungan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diuji dengan keputusan Umno untuk tidak mengadakan pakatan dengan PN dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.

Memang benar semua sedia maklum Umno sukar untuk menerima Bersatu sebagai sekutu sekian lama walau pun sudah bersama-sama membentuk kerajaan di peringkat kerajaan pusat dan beberapa negeri sejak setahun lepas.

Jika kita meneliti laman-laman sosial pimpinan Umno akhir-akhir ini, kebanyakan mereka dilihat yakin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi PRU-15 bersendirian.

Tambah meyakinkan mereka apabila satu tinjauan (survey) yang dibuat oleh sebuah portal berita, memberikan dapatan bahawa rakyat akan memilih BN sekiranya parti gabungan itu bertanding bersendirian di dalam PRU-15 akan datang.

Tambah mengujakan Umno lagi apabila pemimpin de facto mereka Dato’ Sri Najib Tun Razak dikatakan calon paling popular untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya!

Baik, apa itu tinjauan? Tinjauan adalah apabila kita membuat cerapan terhadap sesuatu sampel daripada sesuatu populasi dalam mencari sesuatu jawapan. Populasi bermaksud keseluruhan individu atau objek yang ingin dikaji. Sampel pula adalah sebahagian daripada populasi yang dikaji. Oleh kerana kita tidak mampu mencerap kepada keseluruhan populasi, jadi kita ambil sampel, iaitu sebahagian daripada populasi yang dikaji.

Jika cerapan itu dibuat secara menyeluruh, itu kita panggil banci (cencus). Banci ini melibatkan keseluruhan populasi yang ingin dikaji. Maknanya kita akan mendapatkan jawapan melalui cerapan daripada semua individu atau objek yang ingin dikaji dan bukan sekadar sebahagian.

Dan sudah pasti keputusan daripada bancian adalah lebih tepat 100 peratus berbanding tinjauan. Tinjauan memang tidak benar-benar dapat memberi dengan tepat sesuatu jawapan yang ingin kita cari.

Contohnya, untuk mengetahui siapa yang mendapat sokongan politik maka kita akan membuat tinjauan. Tetapi untuk lebih tepat kita akan membuat bancian. Dalam konteks politik, bancian adalah merujuk kepada pilihan raya. Pilihan raya adalah jawapan yang paling tepat untuk menentukan jumlah sokongan yang pernah kita lakukan dalam tinjauan tadi.

Bercakap tentang tinjauan, penulis sangat gemar menjadikan tinjauan yang dibuat oleh Rafizi Ramli dan organisasi penyelidikannya yang terkenal, Invoke, menjelang PRU14 yang lepas sebagai kajian kes klasik terhadap contoh tinjauan ‘super gagal’.

Antaranya, dapatan tinjauan itu mendapati bahawa pada PRU-14, PAS tidak akan memenangi walau satu kerusi pun di seluruh negara. Kelantan dikatakan akan jatuh ke tangan BN. Tapi apa yang berlaku dalam realiti?

Sebenarnya sesuatu tinjauan yang dibuat memang boleh sahaja tersasar sedikit. Contohnya, katalah PAS bertanding 100 kerusi. Katalah tinjauan menunjukkan PAS mungkin akan memenangi 20 daripada 100 kerusi yang ditandingi. Katalah PAS akhirnya mendapat 25 kerusi atau pun 15 kerusi, itu biasa, tersasar sedikit.

Tapi jika tinjauan mengatakan PAS akan menang 20 kerusi tetapi yang sebenarnya PAS menang 90 daripada 100 kerusi itu maknanya tinjauan itu telah tersasar terlalu jauh.

Lebih teruk lagi apabila tinjauan mengatakan PAS akan dapat kosong kerusi di Kelantan pada PRU14 dan Umno akan menang di Dun Kelantan tetapi hakikatnya PAS menang. Bukan sahaja menang, malah menang dengan majoriti dua pertiga. Itu bermakna tinjauan Invoke tadi itu ‘ke laut’!

Kita mesti faham walau pun tinjauan sepatutnya membayangkan populasi namun ia ada kemungkinan tersasar jauh daripada jawapan sebenar.

Dua kemungkinan yang boleh berlaku di dalam tinjauan yang tersasar sangat jauh ini. Yang pertama tinjauan itu dibuat secara curang dan palsu untuk mewujudkan satu kefahaman palsu terhadap sesuatu perkara.

Yang kedua ialah dapatan daripada sampel yang diambil itu tidak menggambarkan populasi. Sebagai contoh, katalah tinjauan itu secara tidak sengaja hanya mengambil kutipan daripada penyokong Umno sahaja, mungkin ia akan memihak kepada Umno dalam jawapan mereka.

Kita bimbang ada tinjauan-tinjauan yang dibuat samada dengan niat curang atau pun terkhilaf secara tidak sengaja membuatkan kita bertindak secara silap dan akhirnya akan merugikan kita.

Lebih membimbang lagi bahawa mungkin akan ada banyak lagi tinjauan-tinjauan yang akan lebih menjurus kepada menggalakkan PAS, Umno dan Bersatu supaya bertanding bersendirian. Mereka akan mengeluarkan hasil tinjauan-tinjauan untuk meyakinkan samada PAS, Bersatu atau pun BN bahawa masing-masing ada kemampuan untuk menang jika bertanding bersendirian.

Sebenarnya semua ini adalah kerja-kerja pihak yang mahu supaya berlaku tiga penjuru antara parti-parti politik Melayu ini agar DAP-PH dapat memerintah semula.

Apa pun sebenarnya kita boleh jangka bahawa jika berlaku tiga penjuru antara parti-parti Melayu utama ini maka DAP-PH akan menang. Itu satu ketentuan matematik daripada ‘zero sum game’.

Jangan kita mudah teransang dengan tinjauan-tinjauan yang mengangkat parti kita sebagai hebat. Takut-takut ia hanya umpan umpama kisah dongeng ‘Peniup Seruling Hamelin’ yang sedang memukau dan membawa kita terjun ke dalam gaung sedang kita keasyikan dibuai mimpi indah tinjauan-tinjauan tadi.

Sebab itu dalam pepatah Melayu ada disebut ‘sokong membawa rebah’, atau dalam pepatah moden dipanggil ‘jack sampai terbalik’.

Cuba kita tanya siapa yang akan menarik nafaz lega dan bersorak sakan bila berlaku pertandingan tiga penjuru antara parti-parti Melayu ini? Siapa lagi kalau bukan DAP-PH dan sekutunya!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2631 bertarikh 12 Mac 2021.