Home Berita PAS Kelantan

Surau LTSIP dirobohkan mengikut prosedur

64
SHARE

Oleh CHE MAZIAH  MAT

KOTA BHARU, 2 Sept: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius berhubung isu yang dibangkitkan berkaitan perobohan Surau Al-Mikraj di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan bertulis, MOT memaklumkan kerja-kerja merobohkan surau tersebut mengikut prosedur setelah mendapat persetujuan serta mengikut tatacara dan ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) terutamanya dalam hal mengurus harta wakaf bahan-bahan yang mengandungi tulisan ayat-ayat Al-quran dan seni khat.

Berikutan itu, Surau Al-Mikraj akan digantikan dengan pembinaan surau baharu yang lebih selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal.

Jumlah keseluruhan surau baharu yang disediakan adalah 560 meter persegi dan mampu memuatkan sehingga 500 jemaah di semua lokasi pada satu-satu masa.

Menurut kenyataan itu lagi, MOT juga sedang melaksanakan projek pembesaran serta menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu merangkumi kerja-kerja pembesaran bangunan terminal bagi menampung keperluan sehingga 4 juta penumpang dalam tempoh setahun.

Projek tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselesaan penumpang di lapangan terbang, memenuhi kecekapan operasi penerbangan dan meningkatkan keselamatan penumpang.

MOT juga menjunjung titah Sultan Muhammad V yang menitahkan agar semua bahan konkrit yang dikeluarkan dari surau tersebut perlu diserahkan kepada Masjid Telipot Kota Bharu, manakala bahan-bahan yang boleh diguna pakai semula akan diserahkan kepada MAIK sebelum diagihkan kepada Masjid Kampung Laut, Tumpat.

#ViraliyatBerita4ptg