Home Berita PAS Johor

Sumbangan “Back To School” buat anak-anak Maharani

65
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR , 18 Mac : ADUN Maharani, YB Abd Aziz Talib telah sudi menyampaikan sumbangan “Back To School” untuk murid-murid yang keluarganya kurang berkemampuan ke beberapa buah sekolah sekitar kawasan ini, baru-baru ini.

Para penerima daripada 11 buah sekolah telah diserahkan sumbangan berkenaan, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Samsu, SK Parit Bakar Darat, SK Parit Kadzi, SK Parit Keroma, SK Seri Jong, SK Dumpar, SK Sultan Abu Bakar 1, SK Sultan Abu Bakar 2, SK Parit Pinang Seribu dan SK Parit Raja serta beberapa buah sekolah lagi yang lain.

Menurut YB Abd Aziz, setiap sekolah telah menerima sumbangan bagi 10 orang murid yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga B40, yang mana setiap sumbangan yang diterima berupa sepasang pakaian lengkap sekolah, set alat tulis dan sebuah beg sekolah.

“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan sedikit tanggungan keluarga yang akan menghadapi sesi pembukaan sekolah tidak lama lagi, ” ujar beliau, yang juga merupakan YDP PAS kawasan Muar.

Penerima sumbangan ditemani ibu bapa dan juga Guru Besar setiap sekolah masing-masing, dan rata-rata daripada mereka bersyukur serta mengucapkan terima kasih di atas sikap keprihatinan sebagai wakil rakyat.

Salah seorang Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa (PIBG), Mohd Najib Abu Nawar dari SK Parit Bakar Darat yang turut hadir, juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas inisiatif Adun memberi sumbangan ke sekolah-sekolah bagi membantu meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Menurut wakil dari pejabat Khidmat Adun, Suraya Samari, pemberian sumbangan ini turut mendapat kerjasama daripada NGO Kasih Maharani dan NGO Sakinah.

Turut sama mengiringi ; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Ketua Muslimat Muar, Norhayati Sulaiman dan Jabatan Amal Muar.