Home Berita PAS Johor

Sultan Johor perkenan sediakan 18,000 khemah bencana untuk mangsa banjir

293
SHARE
Gambar Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU, 3 Jan : DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah hampir 18,000 khemah bencana untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir telah disalurkan kepada kawasan-kawasan berisiko di seluruh Johor.
.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Royal Press Office, Baginda Tuanku Sultan telah bertitah persediaan menghadapi banjir dibuat saban tahun dan dikemaskini sewajarnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani.
.
“Sama ada berlaku ataupun tidak, kita bersiap siaga untuk menghadapi banjir setiap tahun. Bukan sahaja khemah, malah persediaan lain juga disiapkan awal untuk segera dikerahkan jika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.
.
“Semalam(kelmarin), pukul 2 pagi Tunku Mahkota (DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor) dah datang ke Segamat untuk meninjau keadaan.
.
“Bantuan bukan sahaja untuk ketika berlakunya banjir, tetapi juga perlu disediakan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana itu.
.
“Rumah perlu dibersihkan, peralatan yang rosak perlu diganti dan macam-macam lagi,” titah Baginda.
.
Terdahulu, Baginda berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, di Labis, Segamat untuk melawat mangsa banjir.
Pusat berkenaan menempatkan 272 mangsa banjir daripada 93 keluarga yang menetap berhampiran.
.
Ketika tinjauan itu, Tuanku Sultan Ibrahim menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.
.
Turut berangkat bersama pada lawatan itu, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
.
“Yayasan saya akan cuba sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Johor, namun tangan saya ada dua sahaja. Saya tak mampu buat bersendirian. Saya harap lebih ramai pihak akan tampil untuk saling membantu.
.
“Saya juga menyeru rakyat negeri Johor supaya membuat solat sunat hajat dan berdoa agar diringankan bencana yang dihadapi, serta dikurniakan perlindungan,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.
.
Sumber : https://www.facebook.com/officialsultanibrahim