Home Artikel PAS Melaka

Sudut BMF | Nasi Kandar Tepi Jalan : Dari menjaja ke kedai makan

672
SHARE

Oleh SUMAYYAH AHMAD

NASI Kandar Tepi Jalan’. Pertama kali penulis melihat tulisan ini adalah ketika penulis sedang makan di sebuah kedai makan masakan panas pada tahun lepas, (yang mana kini telah ditukarkan kepada Kedai Makan Nasi Kandar).

Ketika itu ada dua orang anak muda sedang memasang gegantung dan bunting di kawasan restoren tersebut. Jelas kelihatan di wajah mereka kegigihan mencari rezeki yang halal.

Bagi orang Pantai Timur seperti penulis, kami tidak berapa ‘familiar‘ dengan nasi kandar. Dan penulis sendiri pada awalnya tidak berminat untuk berhenti untuk mencuba makan di kedai makan tersebut walaupun sentiasa melalui jalan berhampiran dan sentiasa melihat kedainya dipenuhi pelanggan.

Kawan belanja Nasi Kandar Tepi Jalan

Sehinggalah suatu hari rakan sekerja penulis belanja penulis nasi kandar tersebut dengan membawanya ke pejabat. Perkataan pertama yang keluar dari mulut penulis setelah merasakannya, “Masya-Allah! Sedap!”

Rakan-rakan lain juga memuji kesedapannya. Ayam berempah yang garing di luar dan ‘juicy’ di dalam sememangnya memenuhi citarasa.

Ayam dihidangkan panas-panas setelah diangkat daripada kuali kerana pelanggan sentiasa beratur untuk mendapatkannya. Kadang-kadang boleh membuatkan perut berkeroncong menghidu aromanya.

Penulis tekad untuk menemu bual pemiliknya. Menurut pemilik kedai makan tersebut, pasangan suami isteri, Kamarul Nor Hafiz dan Norrida Sarian, tercetusnya idea untuk mereka berniaga nasi kandar apabila berlakunya pandemik Covid-19 tahun lepas.

“Bermodalkan RM100 yang tinggal dalam poket, modal itulah kami memulakan perniagaan nasi kandar. Sebelumnya kami pernah berniaga kecil-kecilan sahaja, nasi lemak RM1 di tepi jalan. Hanya beralaskan kerusi dan bakul sahaja depan stesen Petronas Masjid Tanah.

“Pada awal-awal Covid-19 dulu, kami mengalami sedikit masalah dengan tidak dapat menjalankan perniagaan nasi lemak. Pada ketika itu, kami berfikir untuk mengubah menu jualan dengan menjual nasi kandar kerana saya memang berasal dari Kedah dan suka makan nasi kandar,” ujar Kamarul.

Mula menjual menu nasi kandar melalui Facebook

Menurut Kamarul, mereka mula berniaga nasi kandar daripada rumah dengan mengambil tempahan melalui laman sosial Facebook dengan harapan dapat menampung pendapatan mereka yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan izin Allah atas usaha kami, beberapa hari selepas itu, tempahan semakin hari semakin meningkat. Kami bermula dengan dua ekor ayam. Selepas dibenarkan berniaga tepi jalan kami cuba bawa nasi kandar tepi jalan ke tempat asal kami berniaga.

“Alhamdulillah dari situ bermula semangat kami. Ramai beratur panjang menunggu, yang mana pada waktu itu kami menggunakan ‘stall’. Bermula dari situ, setiap hari pelanggan mencari. Alhamdulillah, sekarang dah boleh buka kedai nasi kandar,” ujar Kamarul bersemangat.

Menurut Kamarul, pada masa ini jumlah ayam yang dimasak setiap hari adalah sebanyak 35 sehingga 40 ekor sehari. Manakala jika hujung minggu boleh melebihi 40 ekor sehari.

Jadi, bermula dengan nasi lemak RM1.00 beralaskan kerusi, kini mereka boleh berbangga mampu menjual hingga 420 bungkus nasi kandar setiap hari.

“Alhamdulillah pelanggan juga tidak putus-putus dari awal kami mula sehingga sekarang ni. Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Allah sahaja yang tahu segalanya,” kata Kamarul lagi kepada penulis.

Penulis begitu teruja mendengar pengalaman pahit manis mereka dalam membina nama Nasi Kandar Tepi Jalan. Begitu juga dengan menu mereka.

Menu dan harga

Bagi set nasi kandar biasa, pelanggan boleh mendapatkan satu pinggan nasi, seketul ayam goreng berempah, sebiji telur rebus, dan bendi yang dicelur, dilengkapi dua jenis kuah yang menggunakan rempah tersendiri.

Sememangnya cukup berbaloi dengan harga hanya RM7.00. Antara set lain, Set Daging berharga RM7.00, Set Ikan Bawal, berharga RM 10.00, Set Sotong berharga RM12.00 hingga RM15.00. Selain itu terdapat juga Roti John dan Sup Celop Utara berharga RM5.00.

Menurut isteri Kamarul, Norrida Sarian pula, rahsia hasil yang mereka peroleh hari ini adalah melalui kuasa sedekah, sebelum ini mereka suka menolong peniaga kecil yang lain berniaga.

Bagi Noridda juga kuasa sedekah sangat memberi ketenangan dan kemudahan sehingga dapat menjalankan perniagaan tetap Nasi Kandar Tepi Jalan.

Kedai makan Nasi Kandar Tepi Jalan dibuka setiap hari kecuali pada hari Jumaat dari pukul 10:00 pagi sehingga 10:00 malam. Lokasinya berhampiran lampu isyarat kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka. Penulis sertakan di sini alamat laman sosial Facebook kedai Nasi Kandar Tepi Jalan iaitu pada capaian. https://www.facebook.com/nasikandartepijalan99/

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM).