Home Berita PAS Melaka

SRITI Harun Ar-Rasyid anugerah besar buat penduduk Masjid Tanah

326
SHARE
Tuan Guru Zulkifli Ismail menyempurnakan gimik perasmian

Oleh IBNU JANIE
Foto LURIMA

MASJID TANAH, 17 Apr : Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail menyifatkan penubuhan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid, Kampung Londang, sebagai satu anugerah besar daripada Allah SWT kepada umat Islam, khasnya di sekitar kawasan Masjid Tanah.

Menurut beliau, ia merupakan satu lagi daripada agenda-agenda besar perjuangan Islam yang dicapai oleh PAS di peringkat Kawasan Masjid Tanah.

“Dan saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang telah bertungkus lumus berusaha menjadikan penubuhan atau pembinaan SRITI Harun Ar Rasyid ini menjadi kenyataan pada hari ini. Alhamdulillah.

“Dan semua perkara yang baik itu adalah merupakan pemberian daripada Allah SWT. Kalau tidak (kerana) keizinan, kurniaan, kepermudahan daripada Allah SWT, sudah tentu bangunan yang lebih kecil (pun) tidak mampu kita jadikan kenyataan,” katanya lagi.

Tuan Guru Zulkifli yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata demikian semasa berucap merasmikan SRITI ini dalam majlis perasmian yang berlangsung, di perkarangan sekolah, di sini, petang kelmarin.

Tambah beliau, menuntut ilmu dan pendidikan yang diperintahkan oleh Allah SWT itu bertujuan untuk melahirkan satu generasi golongan yang beriman yang menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi.

“Allah SWT memerintah, supaya di dalam kita menuntut ilmu, di dalam kita belajar, dalam kita mendidik, kita merealisasikan satu generasi Mukmin yang sentiasa terikat dengan Allah, sentiasa bergantung kepada Allah dalam semua keadaan.

“Generasi yang akan sentiasa bersandar kepada Allah SWT. Generasi yang beradab kepada tuhannya yang mencipta. Generasi yang tidak akan tertipu dengan kejayaan yang dicapai dalam kehidupan di dunia ini,” ujar beliau.

Malah, jelasnya, generasi inilah yang akan memimpin manusia sebagai khalifah memakmurkan muka bumi Allah SWT dalam keadaan diredai oleh Allah SWT dan mereka itu reda dengan Allah SWT sebagai tuhan.

Turut memberikan ucapan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Nordin, Mudir SRITI Harun Ar-Rasyid, Muallim Mohd Taufik Jamil, sementara ucapan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin disampaikan oleh wakili beliau, Mohd Zarizi Abdul Aziz.

Dalam majlis tersebut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3 ribu untuk SRITI ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, pimpinan PAS tempatan, para mualim dan ibu bapa murid-murid yang menuntut di sini.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Tuan Guru Zulkifli Ismail
Wakil Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Mohd Zarizi Abdul Aziz.
Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman
Ketua Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Nordin
Mudir SRITI Harun Ar-Rasyid, Muallim Mohd Taufik Jamil