Home Berita PAS Melaka

Tubuh SRITI Harun Ar-Rasyid sambung usaha kelas pengajian ayah

141
SHARE

 

Muallim Mohd Taufik Jamil

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABD RAHIM

MASJID TANAH, 17 Apr: Mudir Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid, Muallim Mohd Taufik Jamil berkata, beliau mengasaskan SRITI ini sebagai menyambung aktiviti kelas pengajian ayahandanya, Jamil Aman, 65, yang pernah membuka kelas mengaji Al Quran di situ untuk anak-anak kampung satu masa dahulu.

Malah, menurut beliau, ada antara ibu bapa yang menghantar anak belajar di SRITI ini adalah bekas anak murid ayahnya suatu ketika dahulu.

Tambah beliau, sehingga ke hari ini, kompleks sekolah yang dibina daripada sumbangan orang ramai ini sudah pun menelan belanja sebanyak RM800 ribu.

Jamil Aman, 65, ayahanda kepada Muallim Mohd Taufik yang kini uzur kerana penyakit saraf

 

“Kompleks ini dibina atas tanah yang diwakafkan ibu saya, bonda Ramlah Harun yang mana tanah ini adalah tanah pusaka daripada datuk saya. Tanah asal ini seluas satu per lima ekar.

“Tapi kita sedang dalam proses untuk membeli tanah bersebelahan. Kita dah bayar deposit RM200 ribu. Jika selesai pembelian ni maka keluasan tanah sekolah ini ialah satu ekar,” ujar beliau.

Katanya lagi, SRITI ini memulakan operasi pada Januari dua tahun lepas dengan seramai 14 orang murid, tiga guru dan seorang kerani dan pada hari ini seramai 55 murid sedang belajar di sini dengan tujuh orang guru serta dibantu dua orang kerani dan seorang pembantu operasi.

“Sekarang ni kita sudah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Kita rancang untuk memulakan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sebagai lanjutan kepada SRITI, insya-Allah selewat-lewatnya pada tahun 2026 supaya dapat menampung batch pertama SRITI ini yang sekarang berada dalam darjah tiga,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Berita PAS Melaka-WARM seusai majlis perasmian SRITI ini yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, yang berlangsung di perkarangan sekolah, di sini, pada petang kelmarin.

Turut memberikan ucapan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Ustaz Abu Naufal Nordin, sementara ucapan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin disampaikan oleh wakili beliau, Mohd Zarizi Abdul Aziz

Dalam majlis tersebut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3 ribu untuk SRITI ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, pimpinan PAS tempatan, para mualim dan ibu bapa murid-murid yang menuntut di sini.

 

Tuan Guru Zulkifli Ismail menyempurnakan perasmian