Home Berita PAS Pahang

PAS Indera Mahkota edar 2500 bekas bubur lambuk

196
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 18 Apr :: Sebanyak 2,500 bekas bubur lambuk telah diedarkan di sekitar Indera Mahkota khususnya Beserah dan Semambu secara serentak semalam anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Indera Mahkota.

Pusat bagi penyedian bubur lambuk tersebut ialah di Masjid Lama Beserah dan di PASTI Luqman Hakim Taman Impian dekat sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu telah menghadiri program ini semasa proses penyediaan sedang dilakukan di kedua-dua tempat tersebut.

“Selepas kita mengalami pandemik Covid-19 selama dua tahun di mana bulan Ramadan kita sambut dalam keadaan yang sangat terbatas, maka Alhamdulillah pada hari ini kita dapat menjadikan semangat Ramadan itu pulih kembali ketika kita berada dalam fasa peralihan ini.

“Salah satu dari program tradisi kita setiap tahun di bulan Ramadan ini adalah penyediaan bubur lambuk secara gotong royong dan mengedarnya untuk menghidupkan semula suasana seperti dahulu,” kata Andansura.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang mengharapkan agar program seperti ini dapat memberi satu kesan yang baik untuk memulihkan semula cara dan corak kehidupan kita selepas Covid-19.

Sementara itu Ketua LKK, Jamil Senir sebagai ketua program itu melahirkan rasa gembira dan terharu dengan kerjasama yang telah diberikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS, pemuda dan muslimat, Ahli Jawatankuasa Masjid Lama Beserah dan masyarakat sekitar di Beserah dan Semambu bagi menjayakan program ini.

Beliau seterusnya mengharapakan  agar kemesraan dan kerjasama yang baik ini akan berterusan, dan boleh diterjemahkan sebagai persiapan untuk gerak kerja menghadapi PRU ke-15 nanti.

Bubur lambuk berkenaan telah diedarkan di tempat-tempat awam iaitu di masjid, surau, stesen minyak dan cawangan-cawangan PAS sekitar Indera Mahkota.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Zulfadli Zakariah di Semambu, manakala di Beserah, dihadiri Ketua Cawangan PAS Beserah Selatan Adham Roslan serta ahli-ahli jawatankuasa.