Home Berita PAS Kelantan

SPM 2020: Pengalaman bersejarah pelajar perintis PDPR

264
SHARE
Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Ain Qitrin Azmi Nazmi, pelajar terbaik SPM 2020 Kelantan bagi sekolah YIK.
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 16 Jun: 22 buah sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mencatat keputusan kelulusan 100 peratus dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.
Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan secara dalam talian dimanfaatkan oleh guru- guru dan pelajar serta pemantauan serius oleh ibu bapa menjadi pengalaman bersejarah bagi kluster perintis tersebut menghadapi cabaran demi menempa kejayaan.
“Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong dan Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu memperolehi pencapaian amat memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya kerana guru- guru dapat memanfaatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sepenuhnya dan para pelajar dapat mengikuti PdPR dengan sempurna dengan adanya peranti dan capaian internet yang baik”, katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada guru dan ibu bapa serta semua pelajar YIK yang gigih berusaha dan berharap 130 orang pelajar yang berjaya memperolehi 9A hingga 12A dapat menempatkan diri di institusi pendidikan tinggi berprestij. Daripada jumlah tersebut, 49 pelajar memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran.
Di samping itu, beliau juga berharap agar kemudahan capaian internet dan bekalan peranti dapat dipertingkatkan ke tahap optimum supaya PdPR bagi tahun 2021 dapat diikuti dengan lebih berkesan dan seterusnya pelajar mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang terutamanya pelajar di sekolah luar bandar.