Home Berita PAS Kelantan

SPM 2020: Maahad Tahfiz Sains ungguli GPS

573
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 4 Jun:  Seramai 5365 pelajar dari sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020.
Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong mengunggulinya bagi kategori Maahad Kawalan.
Manakala Maahad Muhammadi Perempuan pula menyusul bagi kategori yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan, kelulusan penuh 94.56 peratus menunjukkan pelajar bijak menyesuaikan diri dengan cabaran pembelajaran norma baharu.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang gigih berusaha dan para guru yang mahir menyelesaikan silibus berfokuskan pembelajaran secara bersepadu dari aspek pembangunan spiritual, kecerdasan mental dan kestabilan emosi sepanjang proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.
“Peranan ibu bapa yang berkorban untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan tekun memantau jadual PdPR anak-anak sewaktu di rumah turut menjadi pelengkap kejayaan ini”, katanya melalui telefon.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri sentiasa berkerjasama dengan agensi berkaitan dan telco pembekal perkhidmatan internet bagi meningkatkan capaian komunikasi secara atas talian di semua lokaliti khususnya di kawasan pinggir bandar.
“Kerajaan sedar, pelajar negeri ini amat memerlukan kemudahan pembelajaran secara optimum. Oleh itu, dengan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kerajaan Kelantan memanfaatkan dana Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM700 juta bagi mempertingkatkan prasarana telekomunikasi dalam tempoh dua tahun”, tambahnya.