Home Berita PAS Kelantan

SPM 2020: JPN Kelantan fokus naratif aspirasi, cabaran bukan penghalang

601
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 13 Jun: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyediakan Naratif Aspirasi SPM 2020 bagi Negeri Kelantan: Cabaran Bukan Penghalang sempena norma baharu yang dihadapi oleh 27,719 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.
Pengarahnya, Zulkernai Fauzi berkata, calon SPM tahun 2020 sangat istimewa kerana menjadi perintis kepada sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang serba baharu dan mencipta fenomena keputusan yang berorientasikan kemenjadian pelajar berdepan cabaran sehingga beroleh kejayaan.
Menurutnya, deretan “A” bukan menjadi keutamaan, sebaliknya kegigihan mendepani cabaran menjadi kayu ukur kejayaan. Tumpuan JPN lebih menjurus kepada semangat juang pelajar yang gigih berusaha mengharungi norma baharu yang mencabar.
“Kita amat bersyukur kerana aspek kemenjadian pelajar menjadi agenda naratif aspirasi SPM 2020 dibuktikan dengan peningkatan peratusan layak sijil SPM dan sekolah lulus 100 peratus meningkat 31 buah berbanding 30 buah pada tahun 2019”, katanya yang turut memuji kesungguhan inisiatif para guru dan pemantauan ibu bapa.
Berdasarkan rumusan analisis Petunjuk Prestasi Utama, Gred Purata Negeri (GPN) merekodkan perbezaan skala yang munasabah pada ratio 0.06 mata pencapaian pada tahun 2019 dengan perolehan 4.84 mata berbanding 4.90 mata pada tahun 2020.
Di samping itu, status lulus layak sijil SPM 2020 meningkat sebanyak 1.19 peratus kepada 90.90 peratus berbanding 89.71 peratus pada tahun 2019.
Beliau turut berkongsi kisah insipirasi empat pelajar kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor, Kota Bharu, Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin Md Khairuddin yang menempa kejayaan setelah berjaya mengharungi cabaran kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Mereka belajar di rumah secara atas talian dan berdepan kesukaran kerana mereka terpaksa berkongsi sebuah telefon pintar. Tambahan pula, talian internet kurang stabil menjadi satu lagi cabaran dalam proses pembelajaran.
Aniq dan Abid bersyukur mendapat keputusan 7A manakala Amir dan Adib reda meraih 6A setelah berdepan rintangan semasa menghadapi SPM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020.
Semasa di asrama pada awal tahun 2021, mereka dapat peluang belajar secara bersemuka bersama guru dan rakan-rakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan”, katanya melalui telefon.