Home Artikel PAS Kelantan

Solat hajat permudah misi menyelamat

1,066 views
SHARE

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Kelantan menyaran muslimat di setiap peringkat mengadakan solat hajat dan munajat supaya misi menyelamat 12 belia yang terperangkap dalam gua di Chiang Rai, Thailand berjalan lancar.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, solat hajat itu boleh dimulakan malam ini sehingga kesemua mangsa dan pasukan penyelamat selamat keluar daripada gua tersebut.

“Semoga semua mangsa dan penyelamat diberi kekuatan, kesihatan dan kemudahan agar semuanya dapat keluar daripada gua tersebut dengan selamat.

“Sama-sama kita doakan agar cuaca di kawasan sekitar adalah baik walaupun laporan satelit menunjukkan ramalan hujan lebat di wilayah tersebut,” katanya di sini.

Seramai 12 pemain pasukan bolasepak remaja Thailand berusia antara 11-16 tahun bersama seorang jurulatih terperangkap di dalam Gua Tham Luang Nang Non di Chiang Rai di utara Thailand.

Mereka terperangkap selama 17 hari iaitu bermula 23 Jun yang lalu.

Pasukan penyelamat menjumpai kesemua 13 orang tersebut dalam keadaan selamat walau pun lemah pada 2 Julai lalu dalam gua terbabit.

Mereka dilapor terperangkap dalam gua gelap dan tanpa makanan.

Semalam media tempatan melaporkan dua remaja berjaya dikeluarkan selepas misi menyelamatkan dilancarkan. – HARAKAHDAILY 9/7/2018