Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin: Sumbangan Musim Tengkujuh

1011
SHARE

Skuad Prihatin: Sumbangan Musim Tengkujuh

Maran, Pahang : Musim tengkujuh yang melanda negara kita hujung tahun yang lepas merupakan ujian yang amat terkesan kepada rakyat terutama di kalangan para penoreh getah dan nelayan. Selain faktor cuaca, penurunan harga komoditi dan kenaikan kos sara hidup juga semakin membelenggu. Tambahan pula, pembentangan belanjawan baru-baru ini tidak memperuntukkan bantuan sara hidup kepada nelayan mahupun penoreh terutama pada musim tengkujuh.

Justeru, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) cuba untuk menyelami keperitan yang dirasai oleh para penoreh dan nelayan dengan turun padang mendekati mereka. Siapa lagi yang sudi mendengar luahan dan rintihan hati mereka jika bukan kita?

Sekali lagi, pada 27 Januari 2019 baru-baru ini, LKK DMPM yang diwakili oleh LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP) mengadakan satu program Ziarah Kasih di mana program ini khusus untuk menyampaikan sumbangan kepada penoreh getah di Daerah Maran DUN Chenor. Sebanyak 20 buah keluarga telah menerima bantuan musim tengkujuh dalam ziarah rumah ke rumah tersebut. Selain penyampaian sumbangan, program turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pasukan Medik Muslimat atau Muslimat Medic Team (MusMedik) yang mana telah sama-sama membantu memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada peduduk yang diziarahi dari rumah ke rumah.

Kemudian program diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 20 buah keluarga lagi yang terdiri daripada para nelayan yang berada di Kuantan, DUN Tanjung Lumpur. Program penyampaian sumbangan di Dun Tanjung Lumpur dilakukan secara berkumpul dalam satu pertemuan.

Pada sebelah petangnya pula, program ziarah dan penyampaian sumbangan diteruskan dengan penyampaian sumbangan secara berkumpul dalam satu pertemuan juga kepada para nelayan di DUN Peramu. Seperti di DUN Chenor dan DUN Lumpur, sebanyak 20 buah keluarga di DUN Peramu juga telah menerima sumbangan.

Penyampaian sumbangan tersebut telah dilaksanakan oleh ADUN Tanjung Lumpur yang juga merupakan Pesuruh Jaya PAS Pahang YB Ustaz Rosli Abd Jabar. Turut hadir mengiringi beliau ialah Saudari Dalmah Ismail selaku Pengerusi LKK DMP Negeri Pahang berserta ahli jawatankuasa LKK Negeri Pahang dan ahli jawatankuasa DMPNP.