Skuad Prihatin Serah Sumbangan Bencana
22 September 2018, Kuala Lumpur : Bencana merupakan salah satu fenomena alam semula jadi. Ia merupakan satu fenomena yang membawa kepada tragedi dan kebiasaannya berlaku dalam keadaan luar jangka. Kesan daripada bencana ini amat besar kepada mangsa yang mengalaminya kerana ia bukan sahaja melibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, bahkan ia juga melibatkan kehilangan nyawa.
Justeru, Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sentiasa bersiap siaga dengan segala kemungkinan yang akan berlaku di musim-musim bencana alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya.
Awal bulan September baru-baru ini, beberapa tempat di Negeri Terengganu di landa ribut yang agak kuat sehingga menyebabkan lebih seribu buah rumah musnah dan mengalami kerosakan yang teruk. Skuad Prihatin LKK DMPM yang diketuai oleh Dr. Che Faridah Ismail selaku ahli jawatankuasa (AJK) LKK DMPM turun ke tempat kejadian di beberapa tempat yang terlibat bagi melihat keadaan mangsa serta menyerahkan sumbangan bagi mengurangkan bebanan mereka yang di timpa ujian tersebut. Sumbangan tersebut juga adalah merupakan hasil kutipan daripada para penyumbang yang sangat prihatin dan dermawan.
Hanya selang beberapa minggu berikutnya, ribut melanda lagi di Negeri Perlis. Skuad Prihatin Negeri Perlis juga bertindak pantas turun ke tempat kejadian meninjau dan melihat keadaan rumah mangsa yang terlibat. Semalam, dan juga pagi tadi, Skuad Prihatin Perlis telah menziarahi dan menyerahkan sumbangan kepada 7 buah rumah mangsa yang terlibat di sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar. Rata-rata rumah mangsa mengalami kerosakan pada bumbung rumah.
Turut hadir dalam ziarah dan penyerahan sumbangan bagi Negeri Perlis ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Ustazah Hjh.Latifah Bt.Mat, Puan Jaliah selaku Ketua LKK Negeri Perlis dan barisan AJK LKK Negeri Perlis.
Kesemua mangsa ribut yang diziarahi di Negeri Terengganu dan juga Negeri Perlis mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas keprihatinan LKK DMPM dan secara tidak langsung juga kepada para penyumbang yang dermawan yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan pertolongan. Semoga Allah membalas segala kebaikan dan kedermawan tersebut dengan yang lebih baik dan lebih banyak di dunia dan akhirat.
Dari Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma bahwasanya ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa salam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah?” Beliau menjawab: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah manusia yang paling bermanfaat bagi sesama manusia. Amalan yang paling dicintai Allah adalah engkau membahagiakan seorang muslim; engkau menghilangkan kesusahan hidupnya, atau engkau melunasi hutangnya, atau engkau menghilangkan kelaparannya. Aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keperluannya itu adalah lebih aku sukai daripadai aku melakukan i’tikaf di Masjid Nabawi ini selama sebulan penuh. Barangsiapa menahan marahnya padahal seandainya ia mahu, ia boleh meluapkan kemarahannya tersebut, pastilah Allah akan memenuhi dadanya pada hari kiamat dengan keredhaan. Dan barangsiapa berjalan bersama saudaranya dalam sesuatu keperluan saudaranya itu sehingga ia dapat memenuhi keperluan saudaranya, nescaya Allah akan meneguhkan telapak kakinya pada hari dimana telapak-telapak kaki tergelincir [hari kiamat].” (HR. Ibnu Abi Dunya, Al-Asbahani, Ibnu Asakir, Abu Ishaq Al-Muzakki dan Ath-Thabarani. Dinyatakan hasan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib wa At-Tarhib dan Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah)