Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin Bantu Mangsa Kemalangan

214
SHARE

Skuad Prihatin Bantu Mangsa Kemalangan 

Lumut, Perak : Keluarga Mohd Fariz Azlan Eshak dan Normiza Nordin, mangsa kemalangan jalanraya pada pertengahan Oktober lepas menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak (DMPNP) dan Muslimat PAS Kawasan Lumut di Taman Fasa 2J Seri Manjung baru-baru ini.

Keluarga tersebut terlibat di dalam kemalangan jalanraya yang membabitkan van mereka dan lori di Air Kuning yang mengakibatkan kematian anak kedua mereka, Nur Fathiah Mohd Fariz Azlan, 4 tahun, pelajar PASTI di Kampar. Turut terlibat di dalam kemalangan tersebut adalah anak sulung mereka yang juga merupakan pelajar SRITI dan anak bongsu keluarga tersebut serta seorang anak jiran mereka.

Tabung kemalangan yang dilancarkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan Dewan Muslimat PAS Perak sejurus berlakunya kemalangan tersebut telah berjaya mengumpul sejumlah wang bagi membantu Mohd Fariz Azlan sekeluarga yang bekerja sebagai peniaga pasar malam.

Normiza yang menerima sumbangan tersebut melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan orang ramai melalui tabung kemalangan yang dilancarkan oleh Dewan Muslimat PAS.

Sumbangan telah disampaikan oleh Hamisah Abas, Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Perak. Turut hadir, Rohawati Abidin, Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Perak, Hamidon Ahmad, Setiausaha PAS Kawasan Lumut serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Lumut.