NegeriPerak

SkimPAS terus bantu waris ahli, RM10,000 disampaikan dalam Liqa’ Fikri PAS Perak

IPOH | Februari 2026 – Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) terus membuktikan peranannya sebagai instrumen kebajikan parti apabila manfaat caruman berjumlah RM10,000 disampaikan kepada YB Ustaz Mohd Misbahul Munir bin Masduki, hasil caruman arwah isteri beliau yang telah kembali ke rahmatullah.

Penyerahan manfaat tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YB Ustaz Idris Haji Ahmad, dalam Program Liqa’ Fikri PAS Perak yang berlangsung pada Februari 2026. Majlis penyerahan itu turut diiringi oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Perak serta barisan pimpinan negeri dan kawasan.

Menurut YB Ustaz Idris Haji Ahmad, SkimPAS merupakan antara inisiatif penting PAS dalam menterjemahkan konsep parti berkebajikan, yang bukan sekadar slogan tetapi dilaksanakan secara konsisten demi menjaga kebajikan ahli dan keluarga mereka.

“Manfaat yang disampaikan ini adalah hasil sumbangan dan tabarru’ ahli-ahli PAS sendiri. Ia membuktikan bahawa kebajikan dalam PAS digerakkan oleh kekuatan jamaah,” ujar beliau.

Sementara itu, pihak Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Perak turut menegaskan bahawa caruman serendah RM55 setahun mampu memberi kesan besar kepada waris ahli yang ditimpa musibah, sekali gus mengukuhkan budaya saling membantu dalam jamaah.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PAS Kawasan di seluruh Negeri Perak turut diseru agar memberi perhatian serius terhadap pengukuhan SkimPAS di peringkat kawasan dengan memastikan Perunding SkimPAS (PSK) sentiasa aktif, berfungsi dan melaksanakan peranan mendekati ahli-ahli untuk pendaftaran baharu.

Pihak Lajnah turut menyatakan harapan agar lebih ramai ahli PAS tampil mencarum SkimPAS sebagai satu bentuk tanggungjawab bersama, bukan semata-mata mengharapkan manfaat, tetapi atas dasar kasih sayang dan keprihatinan dalam perjuangan.

SkimPAS yang diuruskan oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat sejak tahun 2012 telah memberi manfaat kepada ratusan keluarga ahli PAS di seluruh negara dan terus diperkasakan sebagai salah satu teras kebajikan parti.

“SkimPAS – Kifalah dari Ahli, untuk Ahli.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️