PENDANG – Kadar 85 peratus pesakit kes COVID-19 yang dirawat di hospital berada pada tahap 4 dan 5 sememangnya satu situasi wajar dibimbangkan semua pihak.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pesakit pada tahap 4 dan 5 ini adalah kategori separa kritikal dan kritikal di mana memerlukan pemantauan rapi.
Peratus agak tinggi ini menurutnya memungkinkan ketidaklancaran operasi dan prosedur kesihatan kepada pihak hospital, sekali gus perlu membuat penilaian kritikal.
“Kalau kes positif terus mencacak naik seperti sekarang, sistem kesihatan akan collapse kalau keadaan begini terus berlaku hingga pertengahan Jun,” ujarnya.
Beliau mengulangi kemungkinan disebut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut membayangkan keadaan kritikal tersebut.
Jelasnya, pihak hospital mungkin terpaksa memilih memasukkan pesakit yang berpotensi sembuh ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding pesakit sebaliknya jika hal itu terjadi.
“Bersedia untuk yang lebih ‘worse’, Kedah dah ada tujuh kes varian Afrika Selatan. (Juga) 15 peratus kes ke hospital BID (brought in death),” ujarnya memaklumkan situasi kritikal itu.
Sehubungan itu serinya, penularan varian ini perlu diatasi segera antaranya menerusi ‘total lockdown’ supaya keadaan jangkitan di negeri ini boleh diturunkan.
Katanya lagi, kes BID iaitu kematian sebelum tiba di hospital juga mendatangkan satu ancaman besar digeruni oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan.
Beliau menyeru kepada semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan agar penularan ini dapat diturunkan.
Beliau juga terus mengajak masyarakat agar segera mendaftar vaksin dan jangan menolak apabila di panggil untuk suntikan