Home Minda Presiden

Simpulan agama yang dirungkaikan

440
SHARE


Minda Presiden PAS
SIMPULAN AGAMA YANG DIRUNGKAIKAN


Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “‌لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.”

Daripada Abi Umamah al-Bahili RA, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: “Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad 22160, Ibn Hibban 6715 dan lain-lain dengan sanad yang baik)

Melalui hadis sahih yang dinyatakan ini, Rasulullah SAW memberikan amaran akan berlakunya penyelewengan daripada ajaran Islam yang sempurna oleh umatnya pada akhir zaman. Sehingga ikatan teguh yang memegang ajaran Islam laksana simpulan tali yang kuat, dirombak dan ditinggalkan. Islam yang sempurna kurniaan Allah SWT, dirosakkan dengan merombak ikatannya.

Ikatan pertama sekali yang dirombak ialah pelaksanaan hukum Islam yang adil oleh pemerintah negara. Ini berlaku apabila kuasa politik Islam yang mentadbirnya dihilangkan, maka kewajipan untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan hukum Islam juga ditinggalkan oleh umat Islam.

Ajaran Islam yang ditegakkan dengan perjuangan penuh pengorbanan oleh Rasulullah SAW dan para Rasul AS juga disia-siakan begitu sahaja. Semua itu berakhir dengan kejatuhan kerajaan Islam dan umatnya yang pada akhirnya berada di bawah kuasa penjajahan bukan Islam.

Hukum syariat Allah SWT yang adil ditinggalkan, lalu digantikan dengan hukum ciptaan manusia yang lemah. Maka, berlakulah gejala keruntuhan aqidah dan akhlak yang merosakkan semua aspek kehidupan manusia. Sehingga menjadikan keadaan semakin parah, apabila diikuti dengan menularnya pelbagai jenayah besar dan kecil.

Kemudiannya, ia juga merosakkan segala aspek kehidupan manusia bermula daripada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Sehinggalah turut merosakkan alam sekitar, dengan ketiadaan pengurusan dan kawalan pihak yang berkuasa (politik) yang beragama mengikut acuan Islam sehingga syariat Allah SWT ditinggalkan. Imam al-Ghazali RH menulis ungkapan berikut, katanya:

‌ ‌الدِّينُ ‌أُسٌّ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu adalah asasnya, sedangkan kekuasaan (politik pemerintah) itu sebagai pengawas. Apa yang tiada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tiada pengawasnya akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Kejatuhan kerajaan Islam bermula akibat kelemahan umat, kesan daripada kelekaan setelah lama berkuasa dan melupakan wawasan akhirat dalam pemerintahan. Seterusnya menghadapi serangan pemikiran dan fahaman yang menyesatkan oleh musuh yang menjajah, iaitu ideologi pemisahan politik daripada agama.

Fahaman ini telah merosakkan cara kehidupan yang pernah berlaku kepada kaum Yahudi dan masyarakat Kristian, selepas diselewengkan daripada agama Allah yang dibawa oleh Nabi Isa AS. Firman Allah SWT:

﴿وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ…٤٩﴾

“Dan (Kami melantik ‘Isa AS) menjadi seorang Rasul kepada Bani Isra’il…” (Surah Ali ‘Imran: 49)

Nabi ‘Isa AS diutuskan bertujuan mengislahkan Bani Isra’il yang sudah menyeleweng dan sesat daripada kitab Taurat dan ajaran Allah SWT yang dibawa oleh para anbiya’ AS.

Firman Allah SWT:

﴿وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ وَجِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ٥٠ إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ٥١﴾

“Dan (‘Isa AS berkata) aku datang kepadamu membenarkan Taurat yang diturunkan sebelum daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kalian sebahagian (daripada perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kalian, dan aku datang kepada kalian dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kalian. Oleh itu, bertaqwalah kalian kepada Allah dan taatilah kepadaku. (50); Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kalian, maka disebabkan itu sembahlah kalian kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus. (51).” (Surah Ali ‘Imran: 50-51)

Nabi ‘Isa AS ditugaskan membetulkan penyelewengan yang telah meruntuhkan syakhsiyah Bani Isra’il apabila mereka meninggalkan ajaran Kitab Taurat. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ  وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾

“Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang dipikulkan (dipertanggungjawab dan ditugaskan melaksanakan hukum) Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakannya, keadaan itu sama seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal (sedang mereka tidak mengetahui kandungannya). Amatlah buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah; dan (ingatlah) Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Seterusnya pemerintah Rom yang menganut Kristian memasukkan pengaruh warisan keberhalaan, menjadi anutan dan ajaran yang disesatkan aqidahnya daripada tauhid yang menjadi prinsip agama para Rasul AS.

Setelah itu, berlaku penyelewengan daripada kitab Taurat dan dipisahkan agama daripada urusan kehidupan duniawi khususnya dalam aspek pemerintahan. Termasuklah perkembangan kemajuan sains yang diambil daripada tamadun Islam diubah suai secara terpisah daripada agama.

Maka, diciptakan pula teori sekularisme yang menekankan pemisahan urusan hidup duniawi daripada agama sehingga ditegakkan slogan mengikut Kitab Injil yang diselewengkan lagi:

“Therefore render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.”

“Berikan milik Qaisar itu kepada Qaisar; dan milik Allah itu kepada Allah.” (Matthew 22:21; Mark 12:17; Luke 20:25)

Seterusnya dicipta ideologi dan undang-undang manusia yang lemah, bagi menggantikan undang-undang Allah yang Maha Mengetahui segala urusan seluruh alam semesta, termasuklah urusan manusia yang merupakan sebahagian kecil daripadanya.

Terdapat perkara yang diizinkan oleh Allah SWT untuk manusia menguruskan sendiri khususnya dalam perkara yang menjadi kemampuan akal mereka untuk mencari jalan sendiri melalui ilmu duniawi dan pengalaman, serta kajian dengan bijaksana.

Namun begitu, dalam perkara di luar kemampuan akal manusia, Allah SWT meletakkan sempadan dan tidak mengizinkan mereka mencipta undang-undang sendiri kerana akan merosakkan diri dan kehidupan mereka. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya hal yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

Firman Allah SWT:

﴿أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَى وَجْهِهِ أَهْدَى أَمَّنْ يَمْشِي سَوِيًّا عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢٢﴾

“Maka, adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul), yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur atas mukanya itu lebih  layak mendapatkan petunjuk ataupun orang yang berjalan tegap atas jalan yang lurus?” (Surah al-Mulk: 22)

Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa kemusnahan diri dan alam berlaku apabila manusia terkeluar daripada landasan petunjuk yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang mencipta mereka mengikut fitrah kejadiannya.

Kini terserlah berlaku kehilangan jati diri manusia daripada fitrahnya, sehingga menyebabkan berlaku kerosakan terhadap diri, institusi keluarga, masyarakat dan negara, serta seluruh aspek kehidupan yang lain.

Kita menyaksikan berlaku gejala negatif dalam politik, ekonomi dan sosial yang sedang menghancurkan ideologi ciptaan manusia sendiri. Bermula dengan keruntuhan blok Sosialis dan Komunis, serta diikuti oleh blok Liberal Kapitalis.

Hal ini demikian kerana, kedua-dua blok ideologi ini tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia dengan sempurna dan tidak istiqamah, dalam aspek jasad dan roh, kedirian, berkeluarga dan bermasyarakat. Begitu juga dari sudut hubungan dengan Allah Pencipta alam dan makhluk-makhluk lain yang berkaitan dengan hikmah dan tujuan manusia diciptakan.

Firman Allah SWT:

﴿أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ١٤ هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ١٥﴾

“Apakah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu tidak mengetahui (segala-galanya yang kamu lahirkan atau rahsiakan)? Sedang Dia Maha Halus urusan pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. (14); Dialah yang menjadikan bumi itu mudah digunakan bagi kalian; maka berjalanlah di segala penjurunya, serta makanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kalian sesudah) dibangkitkan hidup semula. (15).” (Surah al-Mulk: 14-15)

Kita juga menyaksikan tanah air umat Islam yang telah merdeka, masih lagi meneruskan konsep sekularisme dan ideologi warisan penjajah yang telah gagal mengembalikan jati diri umat dan kemajuan negara. Hal ini membenarkan apa yang pernah disebutkan oleh Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالْإِسْلَامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِي الْعِزَّة بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا الله أَذَلَّنَا الله.

“Kita adalah umat yang dikurniakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam nescaya kita menerima hukum Allah menjadi umat yang hina.”

Penjajah telah berjaya menyebarkan ajaran sesat iaitu fahaman tidak mempedulikan politik yang menjadi wabak pemikiran yang merosakkan ke dalam masyarakat Islam melalui aspek pentadbiran, pendidikan dan media. Kesannya sangat mendalam walaupun kita dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan.

Apa yang berlaku adalah agenda yang diatur supaya umat Islam tiada lagi kuasa politik bagi melaksanakan syariat Allah SWT yang sempurna kerana meninggalkan urusan politik dan menyerahkannya kepada penjajah yang telah diwarisi fahamannya.

Sejarah moden telah membuktikan, apabila Mustafa Kemal Ataturk menggulingkan kerajaan Islam dan menukarnya kepada sebuah negara sekular atas nama menempah kemajuan dengan meninggalkan kuasa Islam memerintah Turki sebagai kuasa besar, tiba-tiba ia bertukar menjadi sebuah negara yang lemah dan diperkudakan oleh kuasa Barat. Kini usaha dilakukan ke arah mengembalikan semula Turki kepada Islam.

Negara-negara Arab yang berkiblat ke arah Barat bersama kekayaan sumber alamnya hanya menjadi lembu susuan yang hina kerana merombak kuasa Islam yang memerintah. Mereka melupai sejarah keemasan ketika bersama Islam yang memerintah sejak zaman Rasulullah SAW, sehingga berjaya mengubah keadaan ketika tiada apa-apa kekayaan hasil bumi sepertimana sekarang.

Allah SWT menceritakan berkenaan para pemimpin Arab yang menolak Islam dengan firman-Nya:

﴿وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Jika kami menuruti petunjuk (Islam) yang kamu bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Islam telah berjaya mengubah masyarakat Arab daripada bangsa termiskin di padang pasir yang kering-kontang dan bangsa yang jahil, menjadi bangsa yang memimpin dunia. Sehingga mereka berjaya mengalahkan kuasa besar yang zalim pada zamannya dan mencipta tamadun Islam yang unggul. Akan tetapi, setelah bangsa Arab meninggalkan Islam, bangsa lain yang menerima Islam pula mengambil alih menjadi kuasa besar yang memimpin dunia. Firman Allah SWT:

﴿هُوَ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشْرِكُونَ٩﴾

“Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar; agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama, meskipun orang Musyrik membencinya.” (Surah al-Saff: 9)

Firman Allah SWT:

﴿…وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“…Dan jika kalian berpaling (daripada Islam) nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian.” (Surah Muhammad: 38)

Maka, kuasa pemerintahan negara bertukar kepada bangsa lain (bukan bangsa Arab) yang menegakkan Islam yang sempurna, sehingga ia berakhir dengan zaman kelemahan umat seluruhnya. Khususnya apabila mereka tidak berpegang teguh dengan Islam sehingga dijajah dan tidak mempunyai kuasa politik, maka berlakulah apa yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW juga menyebutkan tentang satu keadaan, tatkala kejahilan mula mempengaruhi masyarakat Islam melalui sabdanya:

“إِنَّهَا ‌سَتَأْتِي ‌عَلَى ‌النَّاسِ ‌سِنُونَ خَدَّاعَةٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ.” قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ يَا رَسُولَ اللهِ! قَالَ: “السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.”

“Manusia akan menghadapi tahun-tahun (zaman) yang menipu, sehingga dianggap benar orang yang bohong dan dianggap bohong orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang amanah. Kemudian mereka bertanya kepada Rasulullah: Siapakah itu golongan al-Ruwaibidhah wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Orang yang jahil (agama) bercakap dalam perkara yang besar (urusan agama).” (Riwayat Ahmad 7912)

Hari ini juga kita menyaksikan peranan media yang menyesatkan, apabila menyebarkan kenyataan orang yang jahil berkenaan perkara besar dalam agama Islam, khususnya dalam perkara politik yang melaksanakan hukum Allah SWT. Mereka mengajak dan menggalakkan supaya ditinggalkan perkara yang besar dalam agama Islam, ataupun melemparkan suatu sudut pandang dengan akalnya yang jahil tanpa hidayah dan ilmu.

Slogan semua politik itu kotor turut disebarkan oleh media. Adakah itu termasuk juga politik Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada para Rasul AS?

Sebenarnya politik barat itulah yang kotor kerana tiada kawalan dalam aspek dosa dan pahala. Bukannya politik Islam yang disanjung oleh Allah SWT dan mendapat naungan-Nya yang pertama di Mahsyar pada Hari Kiamat kelak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌”سَبْعَةٌ ‌يُظِلُّهُمُ ‌اللَّهُ ‌فِي ‌ظِلِّهِ، ‌يَوْمَ ‌لَا ‌ظِلَّ ‌إِلَّا ‌ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ…”

“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya. Pertama, pemimpin yang adil…” (Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031)

Pemimpin adil mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT kerana beribadat, bertaqwa dan menuntut keredhaan-Nya, bukan keredhaan manusia, cintakan jawatan dan habuan dunia semata-mata.

Kita juga menyaksikan sedang berlangsung kempen terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik, atau menyebarkan pandangan politik tanpa ilmu dan hidayah dalam pemikiran umat. Sedangkan pihak musuh aktif berpolitik bagi merampas kuasa dalam tanah air umat Islam, dan terus melaksanakan teori yang menempah kegagalan serta kemusnahan yang menyesatkan kita bersama mereka.

Inilah perkara yang paling membahayakan, apabila ajaran salah dan sesat ini mempengaruhi generasi baru yang semakin jauh daripada agama. Pada masa yang sama, mereka sangat tertarik kepada media yang dikuasai oleh musuh Islam, khususnya media sosial tanpa sempadan agama dan tanpa lesen kebenaran.

Maka, usaha untuk mendidik generasi baru kembali kepada agama Islam adalah benteng pertahanan jati diri yang paling kukuh demi keselamatan di dunia sehingga akhirat. Jangan menunggu sehingga lebih ramai lagi mereka yang tidak menunaikan solat, iaitu simpulan agama terakhir yang dirungkaikan.

Allah SWT memberikan amaran kepada mereka yang terpengaruh mengikut dan membuat kenyataan penuh kejahilan, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا٣٦﴾

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu akan diminta pertanggungjawaban.” (Surah al-Isra’: 36)

ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Zulhijjah 1442 / 21 Julai 2021