Home Berita PAS Terengganu

SG4 Perkasa Dakwah, Bukan Hanya Berorientasi Pelaburan

21
SHARE

KOTA BHARU – Kerjasama yang terjalin antara negeri membentuk ‘State Government 4’ (SG4) bukan hanya berorientasi pelaburan bagi memperkukuhkan ekonomi tetapi turut mencakupi aspek yang lain termasuk memperkasakan dakwah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan mengeratkan lagi kerjasama dalam memastikan agenda dakwah menjadi keutamaan bersama.

“Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan lebih erat dalam aspek yang berkait dengan portfolio khususnya dalam bidang dakwah.

“Dengan mengambil semangat ‘SG4’ bukan sahaja dalam bidang pelaburan dan pembangunan insan bahkan juga dalam bidang dakwah ini.

“Antara benda menarik yang kita boleh dapat hasil daripada pertemuan ini ialah pengalaman Kelantan berkenaan dengan cara berdakwah kepada masyarakat bukan Islam untuk dibawa balik ke negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan kerja ke Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pertemuan itu sangat bermakna khususnya dalam berkongsi pengalaman dalam memperkasakan syariat Islam.

“Apabila kita berbincang tadi ada beberapa perkara yang perlu diselaraskan bagi memperkasakan dakwah kepada kelompok sasaran serta bukan Islam dan segmen syariah.

“Melalui jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan juga rakan-rakan strategik yang lain.

“Apa yang penting kita ingin mencapai objektif melalui beberapa penyelarasan program dengan kita saling mempelajari dari apa yang dilalui oleh Terengganu di bawa ke Kelantan dan pengalaman di Kelantan di bawa ke Terengganu untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya.