Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Seruan Munajat Dan Kecam Tragedi Di Gaza Serta Bukit Golan

844
SHARE

SERUAN MUNAJAT & KECAMAN TRAGEDI DI GAZA SERTA BUKIT GOLAN

1. Dunia Islam dikejutkan pada 25 Mac 2019, apabila bumi Gaza diserang secara besar-besaran oleh Yahudi Zionis bagi tujuan membunuh pemimpin Hamas di Palestin.

2. Tidak sekadar itu, pada tarikh yang sama memperlihatkan tindakan angkuh oleh Presiden Amerika Donald Trump dengan menandatangani pengisytiharan kedaulatan Israel ke atas wilayah Bukit Golan. Majlis menandatangani pengisytiharan tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Israel Netanyahu.

3. Sebelum ini pada Disember 2017, Donald Trump telah pun mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel tanpa menghiraukan sensiviti umat Islam di seluruh dunia. Tragedi demi tragedi ke atas Gaza dan dunia Islam kini menunjukkan betapa rakusnya sikap Yahudi Zionis dan “polisnya” Amerika dalam memperluaskan cengkaman penjajahan bagi menjayakan perancangan Israel Raya.

4. Benarlah bagaimana firman Allah SWT yang mendedahkan sikap musuh utama Islam menerusi firman-Nya:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” [Al-Baqarah: 120]

5. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat [DUPP] menyeru kepada seluruh umat Islam di seluruh negara untuk melakukan munajat kepada Allah SWT agar diberikan pertolongan kepada saudara kita di bumi Gaza dan Syria khususnya dalam tragedi yang berlaku ini. DUPP juga mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Yahudi Zionis yang membunuh nyawa manusia yang tidak bersalah serta menemplak keangkuhan Donald Trump yang tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

20 Rejab 1440 / 27 Mac 2019