Home Artikel PAS Pusat

Serahan Hamper Tahun Baru Cina Serlahkan BPMS

94 views
SHARE

Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat telah berjaya melaksanakan program “kunjung dan serah” hamper, kuih bahulu dan kad di beberapa lokasi sekitar ibu Negara sempena kedatangan Tahun Baru Cina.

Program diketuai oleh Dr. Najihatussalehah Ahmad selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan turut disertai oleh Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Kartini Ahmad, Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Puan Norhafiza Fadzil, Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Salbiah Ab Wahab dan Puan Asiah Mohd Baki, Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat serta beberapa Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Lokasi pertama yang dikunjungi ialah “The Selangor dan Kuala Lumpur Kwan Tung Association” yang merupakan antara NGO Cina yang mempunyai ramai anggota. Rombongan disambut mesra oleh Miss Chan Sau Foong, Setiausaha Eksekutif persatuan dan beliau turut meluangkan masa seketika bersembang berkenaan persatuan.

Destinasi seterusnya ialah di Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.

Ustaz Mohammad Ibrahim atau lebih popular dengan nama panggilan Ustaz Mad Cina turut serta meraikan kunjungan ini.

Kakitangan pejabat persatuan sedikit terkejut dengan kehadiran rombongan Lajnah Perpaduan Nasional namun, bersikap “sporting” apabila diajak bergambar bersama-sama.

Mereka sempat bercerita berkenaan persiapan sempena menyambut Tahun Baru Cina.

Lokasi ketiga ialah ke Pejabat Akhbar China Press yang terletak di Bangsar. Di sini, Lajnah Perpaduan Nasional turut disambut dengan baik sehingga pengawal keselamatan memberikan laluan untuk masuk ke perkarangan dalam tempat parkir kereta apabila dimaklumkan yang pihak Lajnah ingin menyampaikan hamper serta barangan lain sempena Tahun Baru Cina.

Mr. Derek Tan, Senior Reporter, menerima barangan yang disampaikan oleh Lajnah Perpaduan Nasional bagi pihak China Press.

Destinasi terakhir ialah Pejabat Akhbar Sin Chiew Jit Poh di Petaling Jaya. Lajnah Perpaduan Nasional turut disertai oleh YB Dr. Halimah Ali yang merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Selangor, merangkap ADUN Selat Kelang.

Di sini, Lajnah Perpaduan Nasional menerima sambutan yang sangat menggalakan daripada Mr. Lim Sue Goan, “Deputy Executive Editor-in-Chief” dan Mr. Low Kon Sin, “Senior Manager (Corporate Communication & Promotion)”.

Malah mereka sangat mengalu-alukan supaya PAS boleh mengadakan dialog bersama mereka supaya sebarang isu yang selama ini menjadi kemusykilan, dapat diberikan pencerahan sebaiknya oleh PAS.

Rata-rata, kaum Cina masih menerima dengan baik kehadiran PAS. Ini dapat dilihat melalui sambutan mesra ketika Lajnah Perpaduan Nasional PAS berkunjung ke premis-premis mereka sekaligus membuktikan bahawa PAS merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kepada semua, melangkaui batas-batas kaum, bangsa dan agama.

Galeri (klik untuk besarkan):