Home Artikel PAS Melaka

Seorang penderma darah boleh selamatkan tiga nyawa

293
SHARE
Mohd Faisal Ishak, 38 (kiri)

Oleh : Siti Hajar
Foto : Haniff Abd Rahim

HANG TUAH JAYA, 16 Jan : “Derma darah ini bukannya derma saja-saja. Sebab kita sebenarnya menyelamatkan nyawa orang. Sebenarnya seorang penderma boleh selamatkan tiga nyawa sekali gus,” kata Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Melaka, Mohd Faisal Ishak, 38.

Tambah Faisal lagi, situasi penularan pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang ini menyebabkan berlakunya kekurangan darah di hospital-hospital.

“Kita (orang ramai) kena derma darah terutama sekali kerana Covid sekarang ni. Kita di Hospital Melaka kekurangan darah.

“Bukan Hospital Melaka sahaja. Satu Malaysia kekurangan darah. Kita kena minta bantuan dari orang ramai untuk datang menderma darah,” ujar beliau.

Selain itu beliau turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan Program Amal Mega Blood Donation (AMBD) Melaka yang berlangsung di Mydin MITC, Ayer Keroh hari ini.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Yang pertama kali datang derma pun bagi sokongan. Jabatan Amal pun bagi sokongan. Dari pagi hingga sekarang memang memuaskan hati.

“Lagi satu kita minta orang ramai datang menderma sebab sepanjang Covid-19 ni kita ada kekangan pergerakan.

“Kalau tak dapat datang ke mana-mana kempen derma darah boleh datang ke Hospital Melaka atau mana-mana tabung darah berdekatan,” rayu beliau.

Faisal berkata demikian ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) dalam program AMDB anjuran Jabatan Amal Malaysia, Dewan Pemuda PAS Melaka sebentar tadi.

Mimi Sakinah Khairul Anuar, 25, Guru PASTI As Syarifah Telok Mas

Sementara itu, seorang penderma yang turut ditemuramah WARM melahirkan rasa teruja untuk menderma darah.

Guru PASTI As Syarifah Telok Mas, Mimi Sakinah Khairul Anuar, 25, berkata, ini adalah kali keempat beliau menderma darah.

“Sebelum ni memang pernah derma darah. Masa belajar dulu pernah derma darah. Kita pun dah tahu kebaikan menderma darah jadi secara tak langsung dengan program yang ada macam ni kita join sekalilah.

“Sebab bukan mudah kita nak pergi hospital tiba-tiba nak derma darah. Agak susah sikitlahkan. Kalau ada program-program macam ni ia memudahkan kitalah,” ujar Mimi.

Menurut Mimi beliau memang sedia maklum tentang kebaikan dan faedah menderma darah yang menurut beliau akan memberi kebaikan dari sudut kesihatan kepada penderma.

“Selepas derma darah ni badan kita akan rasa lebih ringan. Tengok oranglah. Macam saya memang akan rasa macam tu,” ujar beliau lagi.

Pada masa berita ini ditulis sekitar jam 3.30 petang pihak Tabung Darah Hospital Melaka telah pun menamatkan program ini di Mydin MITC.

Kepada mereka yang ingin menderma boleh hadir esok dalam program yang sama di AEON Bandaraya Melaka dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang.