Home Berita PAS Melaka

Derma darah Amal Melaka : Pendaftaran walk-in dapat sambutan hangat

563
SHARE

Oleh : Siti Hajar
Foto : Haniff Abd Rahim

HANG TUAH JAYA, 16 Jan : Program Amal Mega Blood Donation (AMBD) Melaka yang sedang berlangsung sekarang, bertempat di Mydin MITC Ayer Keroh mendapat sambutan hangat dengan kehadiran peserta walk-in yang melebihi peserta pendaftaran secara dalam talian.

Setakat jam 12.30 tengahari tadi, ruang saringan dan katil untuk transfusi darah penuh dengan penderma yang prihatin terhadap kempen derma darah oleh kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Tabung Darah Hospital Melaka, Mohd Faisal Ishak (kiri)

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Tabung Darah Hospital Melaka, Mohd Faisal Ishak, 38, stok darah yang kritikal di Melaka ialah daripada darah jenis AB.

“Setiap meja saringan akan ada orang yang tidak berjaya lepas syarat menderma darah. Dan pada saya di Bahagian Pendaftaran hanya ada dalam enam orang yang tidak berjaya setakat jam satu petang.

“Peserta yang tidak berjaya di peringkat borang pendaftaran kerana ada yang kurang tempoh tidur, penyakit asma semasa kecil dan pernah menghidapi kanser,” kata beliau ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.

Program AMBD anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dewan Pemuda PAS ini juga mendapat penyertaan warga asing yang berasal dari India yang menetap di sini, selain masyarakat setempat yang turun menderma tanpa mengira latarbelakang bangsa dan politik.

Untuk rekod, seramai 21 orang petugas memastikan program ini berjalan lancar yang terdiri daripada Jabatan Amal Negeri Melaka (JAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Muslimat Muda PAS serta 12 orang kakitangan Hospital Melaka.

Mereka yang ingin menderma boleh menghadiri lokasi kempen di Mydin MITC Melaka yang sedang berlangsung sekarang hingga jam 5.00 petang ini.