Home Berita PAS Kelantan

Seni, budaya satukan kaum di Kelantan

145
SHARE

KOTA BHARU, 29 Nov: Dalam usaha mengekalkan perpaduan dan hubungan antara kaum di Kelantan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan sentiasa mengadakan program-program kebudayaan dan kesenian yang melibatkan semua kaum.

Exco Perpaduan Masyarakat, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, antara program berkala yang diadakan ialah Malam Santai Puisi Budaya di Dataran Bandaraya MPKB-BRI pada Jumaat pertama setiap bulan.

“Pada malam tersebut, persembahan silang budaya seperti tarian singa, gedombak Siam dan gendang silat Melayu dipersembahkan kepada penonton, selain deklamasi sajak oleh orang Melayu, Cina, India dan Siam,” katanya.

Tambah beliau lagi, acara tahunan Malam Satukan Puisi dan Budaya turut diadakan di Gelanggang Seni yang melibatkan persembahan kebudayaan dari semua etnik termasuk Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli.

“Elemen persembahan semua etnik itu disatukan dalam satu persembahan muzikal yang menakjubkan,” katanya ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan berkenaan usaha Kerajaan Negeri mengekalkan perpaduan kaum, di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya lagi, kebajikan penggiat seni juga sentiasa dipelihara melalui bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran, kemalangan, penyakit kronik dan kematian yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.