Home Berita PAS Kelantan

Semua pihak diharap bersiap siaga kemungkinan banjir – Exco Kebajikan

84
SHARE

KOTA BHARU, 11 Oktober: Sebagai persediaan awal kemungkinan Kelantan mengalami musibah banjir, Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita ( U-KeKWa) telah mengadakan program Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Khairat Bantuan Bencana 2022/2023 di Hotel H Elite, pada 6 Oktober.

Berucap pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyatakan, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara berada dalam fasa peralihan monsun bermula awal Oktober 2022 dan akan berterusan sehingga awal November 2022.

“Semasa fasa peralihan ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang menyebabkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Persiapan awal adalah penting dalam mendepani sebarang kemungkinan kerana musibah banjir boleh mengancam nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau yakin lokasi yang berpotensi dilanda banjir telah bersiap sedia dan DUN-DUN yang terlibat juga telah bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

Pada kesempatan tersebut, beliau mengucapkan terima kasih kepada badan kerajaan dan NGO yang terlibat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan dan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) yang terlibat secara langsung dalam mengisi slot-slot khas dalam program itu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan DUN yang terlibat dengan banjir, wakil-wakil jabatan dan NGO.