Home Berita PAS Kelantan

Semarakkan Ramadan dengan al-Quran

696
SHARE

KOTA BHARU – Dalam ketaatan kita kepada ALLAH SWT melawan segala hawa nafsu menunaikan rukun Islam ketiga di bulan yang mulia ini seharusnya tidak lupa juga untuk sama-sama menyemarakkan lagi Ramadan dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, masyarakat Islam khususnya perlu kembali semula kepada al-Quran dan mengambil peluang terbaik untuk melakukannya ketika umat Islam seluruh dunia berpuasa.

“Membaca al-Quran sangat dituntut oleh Islam dan al-Quran itu diturunkan dengan penuh keberkatan untuk kita mendalami.

“Melalui al-Quran juga kita perlu memberi pengajaran besar kepada orang yang mempunyai pemikiran yang waras,” katanya ketika menerima kunjungan ahli Persatuan Rumah Ngaji Kelantan di pejabatnya, siang tadi.

Hadir sama, Pengerusi, Datuk Adnan Hashim; Penasihat, Dr Azhar Muhammad dan Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Ahmad turut menyatakan sokongannya terhadap kempen World #QuranHour yang akan diadakan pada 7 Jun 2018 bersamaan 22 Ramadan 1439H anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan Kumpulan Media Karangkraf.

“Satu program yang baik di mana kita nak masyarakat Islam khususnya kembali semula kepada al-Quran maka cara yang dibuat ini, faham, baca dan amal memang sesuai dan dituntut oleh Islam.

“Program yang amat baik sepatutnya didokong dan disokong oleh semua umat Islam di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, kempen masuk tahun ketiga itu diadakan serentak di seluruh dunia dan kali ini di Kelantan, Masjid Ismail Petra Kubang Kerian menjadi pilihan sebagai lokasi utama kempen membaca al-Quran.

“Saya rayu kepada seluruh masyarakat Kelantan terutama yang beragama Islam supaya pakat turun dari jam 11 pagi sampai 12 tengah hari dan tunggu sehingga Zohor untuk kita sama-sama membaca ayat suci al-Quran pada hari itu,” katanya.- SINAR HARIAN 20/5/2018