Home Kenyataan Media PAS Melaka

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan- Ameerah PAS Tangga Batu

211
SHARE

ALHAMDULILLAH, usia kemerdekaan Malaysia mencapai 64 tahun. Malaysia Prihatin dikekalkan sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini, membawa pengertian bermakna di kala negara masih teguh mendepani pandemik COVID -19.

Semangat kebersamaan dan persefahaman yang jitu perlu menjadi pegangan dalam semua lapisan masyarakat bagi memperteguh keharmonian negara.

Frasa kemerdekaan adalah bererti sebuah kebebasan ataupun lepas daripada sebarang penjajahan dan naungan secara fizikal. Namun dalam skop pandang yang lebih besar, pendeta Za’ba menyebut kemerdekaan adalah:

Berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia;

Daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan;

Dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.

Hakikat kemerdekaan dalam agama bukanlah bebas melakukan apa sahaja dan berbuat sewenang-wenangnya. Bahkan kebebasan hakiki adalah kebebasan yang dapat menghasilkan kebaikan demi kebaikan terhadap diri dan persekitaran, bukan yang mencelakakan.

Sempena usia kemerdekaan kali ke-64 tahun, Ameerah Tangga Batu mengajak golongan anak muda untuk menjiwai erti kemerdekaan.

Cintakan tanah air merupakan satu tuntutan. Tanah air menjadi tempat kita meneruskan kehidupan, melangsungkan aktiviti seharian, berehat dan paling utama tempat beramal untuk melakukan kabaikan dan kebajikan.

Menjiwai erti kemerdekaan adalah dengan mempamerkan rasa kecintaan melalui percakapan, pemikiran dan tindakan dalam mencintai negara.

Anak muda perlu bijak menyuarakan pandangan dan keinginan dengan menggunakan saluran yang betul dan tidak tenggelam dengan emosi sehingga boleh diperalatkan suasana dan pihak tertentu demi kepentingan mereka sehingga menyemai rasa kebencian sesama sendiri.

Malaysia baru sahaja bertukar kepimpinan baharu disebabkan pergolakan politik yang berlaku. Seharusnya apa yang berlaku sebelum ini dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Pemimpin dan rakyat perlu saling hormat-menghormati dan bantu-membantu demi mengukuhkan perpaduan negara.
Mempertahankan kemerdekaan itu akan menjadi lebih sulit daripada memperjuangkan kemerdekaan jika gagal meletakkan kepentingan peribadi dan entiti di tepi.

Akhir kata, Ameerah Tangga Batu mengucapkan Selamat menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-64. Marilah sama-sama kita terapkan slogan Malaysia Prihatin dalam diri bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam ‘Keluarga Malaysia’ untuk terus mengecapi keamanan dan keharmonian dalam tanah air tercinta.

ROHAYA RAMLI
Timbalan Ketua Ameerah,
PAS Kawasan Tangga Batu