Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Selamat Menggalas Amanah Jamaah

338 views
SHARE

Masih terasa bahang kemuncak Muktamar PAS ke-63 yang sudah melabuhkan tirainya semalam setelah lima hari berkampung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah. Secara keseluruhan, kelangsungan majlis berjalan dengan baik dan aman sekali. Alhamdulillah, tahun ini juga Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak berjaya menerbangkan 23 perwakilan dan pemerhati bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti PAS dengan menghadiri muktamar tersebut.

Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan tahniah dan takziah kepada seluruh saf pimpinan baru bagi sesi 2017/2019 atas taklifan yang diamanahkan.

Dijangkakan barisan pimpinan inilah yang akan memacu jentera para amilin berhadapan PRU14 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang. InsyaAllah kami berikrar akan berdiri teguh di belakang pimpinan ini untuk bersama-sama mengharungi segala mehnah dan cabaran dalam perjuangan akan datang.

Bertemakan “Sejahtera Bersama Islam” muktamar kali ini membawa mesej kepada rakyat bahawa PAS bermatlamat ke arah kesejahteraan masyarakat seluruhnya dalam segenap aspek kehidupan dengan Islam. Impak positif dapat dilihat dikalangan rakyat apabila umat Islam bersatu menegakkan syiar Islam dan menentang kebatilan.

Menerusi slogan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” yang masih di genggam kemas kini, juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat dalam mendepani polemik politik Malaysia. Namun begitu, penerapan nilai-nilai ini perlu dipupuk dan difahami dengan lebih baik oleh ahli PAS agar pembawaan politik PAS disenangi oleh rakyat mahupun pihak lawan. Bak kata Almarhum Tn. Guru Nik Aziz, “kita menerang, bukan menyerang”.

Berbekalkan taujihat dan motivasi yang digarap daripada ucapan penggulungan Presiden, diharap semua amilin PAS ambil peranan masing-masing untuk bersedia gerak gempur pilihanraya nanti dan teruskan beristiqamah hingga kemenangan!