Selamat Kembali ke Sekolah dengan Norma Baharu
15 Julai 2020 merupakan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 6 Semester 1, Tingkatan 1 hingga 4 serta Darjah 5 dan 6 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Pastinya segala persiapan dan persediaan telah dibuat untuk menerima kemasukan semula pelajar ke sekolah.
Sudah pasti perasaan bercampur-baur antara teruja dan malas, kerana telah hampir empat bulan ‘bercuti’ di rumah, melakukan aktiviti harian bersama keluarga. Akhirnya kini tibalah masa untuk melakukan rutin harian ke sekolah setiap hari dengan pengamalan norma baharu. Namun masing-masing tentu teruja untuk bertemu semula dengan guru-guru dan rakan-rakan di sekolah belajar dan bermain bersama-sama.
Saya mewakili seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan ‘Selamat Kembali ke Sekolah’ buat semua anak-anak yang telah pun mula bersekolah semalam, dan yang akan memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan. Semoga semua guru-guru dan anak-anak sentiasa mengikut garis panduan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Walaupun norma baharu ini akan dianggap sedikit menyusahkan kerana terlalu banyak peraturan dan pantang-larang yang mesti dijaga, namun kita semua harus ingat yang negara kita masih belum menang. Justeru semua pihak mesti memainkan peranan penting sehinggalah Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan kes ini telah tamat. Alhamdulillah akhirnya kita semua telah dapat melaksanakan rutin harian seperti biasa walaupun dalam keterbatasan yang ada.
Di kesempatan ini juga, pihak kami mengucapkan “Selamat Bertugas” buat semua guru yang telah kembali ke sekolah dan telah bersusah-payah melaksanakan persiapan bagi mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) pembukaan sekolah. Pengorbanan, komitmen dan kesungguhan kalian hanya Allah SWT sahaja yang layak membalasnya.
Islam Memimpin, Wanita Sejahtera
YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Julai 2020 bersamaan 24 Zulkaedah 1441