Home Minda Presiden

Sejarah Singapura yang dibutakan, Batu Puteh yang berputih mata

106
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 56 / 2024]
SEJARAH SINGAPURA YANG DIBUTAKAN, BATU PUTEH YANG BERPUTIH MATA


Sejarah Singapura dijajah British penuh dengan kisah penipuan, hasil kebodohan sendiri dan gelojoh harta dan takhta sehingga boleh ditipu oleh penjajah. Cerita benar yang dilupakan dalam lipatan sejarah tanah air sehingga generasi baru jahil cerita tanah airnya.  Senario Singapura terputus daripada Semenanjung Tanah Melayu kerana kejahilan politik bangsa Melayu yang jahil agama, sehingga ditipu penjajah apabila menganggap politik itu kerja menipu dan kotor. Hakikatnya terbalik bahawa sebenarnya yang tidak berpolitiklah  menjadi mangsa penipuan diperkudakan dan ditipu. Akhirnya, dicuri kuasa politik tanah airnya.

Menjadikan bangsa Melayu di Singapura tenggelam laksana tenggelamnya kaum Nabi Nuh oleh peristiwa taufan paling besar dalam sejarah manusia yang meranapkan generasi awal zuriat Nabi Adam dan Nabi Nuh menyambung zuriatnya.

Mereka ditipu oleh para pemimpin supaya menentang Rasul Allah Nabi Nuh AS, menuduh Nabi Nuh bodoh, berpolitik gila kuasa dan sesat padahal mereka menyaksikan benar dan bijaknya Rasul pilihan Allah, namun mereka tidak percaya kepadanya dan amaran Allah yang diberitahu oleh nabinya yang wajib bersifat benar.

Firman Allah SWT:

فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤ إِنۡ هُوَ إِلَّا رَجُلُۢ بِهِۦ جِنَّةٞ فَتَرَبَّصُواْ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٖ ٢٥

“Maka, pemuka-pemuka (para pembesar) antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini (Nuh) tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa  malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu. (24) Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu’ (25)” [Surah al-Mu’minun: 25-26]

Adapun Melayu mungkin menerima nasib tidak bersambung zuriatnya, laksana kaum Red Indian di benua Amerika dan orang asal di New Zealand dan Australia yang terpinggir di tanah air sendiri. Berlakunya firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـًٔا ۗوَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38-39]

Firman Allah SWT:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]

Begitulah Allah menentukan ajal kepada umat yang tidak berjuang mempertahankan maruah agama dan umatnya.

Namun, tidak ramai yang membaca sejarahnya sehingga dilupakan dan dibutakan serta tidak  dijadikan iktibar bagi memikirkan masa depan umat.

Sebaliknya, Batu Puteh terumbu karang yang kecil ditempikkan setelah berputih mata  menuding jari kepada yang tidak bersalah dan tiada kena mengena dengan yang difitnahkan kerana sebenarnya ia berlaku melalui kesalahan dan kebodohan orang lain.

Almarhum Prof. Nik Anwar memaklumkan kepada saya, ada surat kenyataan rasmi bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura, menyerahkan terumbu Batu Puteh kepada Singapura oleh kalangan tertentu yang pendek akalnya. Sebelum Tun Mahathir jadi PM lagi.

Berbeza dengan penyerahan Singapura kepada British melalui perjanjian menyerah diri  dan akhirnya terputus daripada Semenanjung Tanah Melayu melalui proses demokrasi yang halal mengikut undang-undang manusia selepas merdeka dalam Malaysia dan keluarnya penjajah British, akibat Melayu bersama UMNO Singapura tidak mahu berpolitik.

Kini pula, tindakan bodoh itu ditutup oleh para pembohong dan penipu dengan cara yang terbuka laksana menudung bangkai dengan tapak tangan yang kecil bagi menyalahkan Tun Mahathir yang tidak ada kaitan menyerahnya kepada penjajah.

Parlimen diperkudakan menjadi penipu secara lakonan dengan memaksa Tun Dr. Mahathir menjadi hero yang dituduh, sedangkan hero sebenar yang menipu berlindung di belakang pentas Parlimen.

Apa yang menarik ialah pelakon tambahannya daripada Melayu dalam PH (PKR , PAN dan DAP Melayu) dan UMDAP (UMNO Khadam DAP). Adapun DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya. Nampak tidak setianya kepada negara dan lebih rela kepada negara asing. Tidak mengenang budi diberi kerakyatan walau sifatnya pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah.

Saya masih ingat Almarhum Ayahanda Haji Awang menceritakan penjajah menipu ketua salah satu negara Arab mahu membeli tanah seluas belulang kambing. Pada awalnya saya menyangka hanya cerita penglipur lara. Tiba-tiba dalam lawatan saya ke Tunisia, Syeikh Rasyid al-Ghannushi menunjukkan kepada saya kawasan tanah yang diminta sebesar belulang kambing itu benar-benar berlaku, dengan cara belulangnya digunting menjadi tali yang halus diukur tanahnya yang luas menjadi tempat penjajah itu bertapak. Begitu mudah sekali ditipunya para pemimpin kita pada zaman rakyat bertuhankan pemimpin yang bodoh.

Akhirnya Panglima Sinan Basya (1506-1596) daripada Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang menjadi kuasa besar dunia pada waktu itu berjaya menghalau penjajah dan membebaskan Tunisia daripada penjajahan  Sepanyol.

Begitulah tanah air Islam dipertahankan ketika umatnya menjadi kuasa besar yang kuat. Malangnya, kini kita berada dalam keadaan yang sangat hina dan dihinakan kerana kebodohan sendiri.

Malangnya pula, Singapura diserah secara reda kepada penjajah dan hilang kuasa Melayunya melalui demokrasi Barat yang aman damai kerana Melayunya lupa pentingnya politik sehingga boleh dibeli dan dibuli.

Lihat dengan faham betapa bodohnya apabila Singapura yang ditipu sehingga dijajah dilupakan sejarahnya. Apabila Batu Puteh yang kerdil pula menjadi tajuk utama lakonan menipu.  Hanya  batu karang kecil diperbesarkan dengan tujuan menipu rakat yang telah pun ditipu.

Allah menceritakan nasib para pemimpin yang menipu rakyat bersama rakyat yang ditipunya pada Hari Kiamat nanti. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠ ٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul’. (66) Dan mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)’. (67) ‘Wahai Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar’. (68)” [Surah al-Ahzab: 66-68]

Menunjukkan hukuman Allah terhadap pemimpin yang sesat dan bodoh bersama pengikutnya yang tidak berfikir dengan akal yang sihat sehingga melakukan apa saja tanpa memandang wawasannya yang panjang.

Kesimpulannya, keadaan ini berlaku apabila bertuhankan kebendaan dan pangkat. Firman Allah menceritakan konsep Firaun membodohkan rakyat:

وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤ فَلَمَّآ ءَاسَفُونَا ٱنتَقَمۡنَا مِنۡهُمۡ فَأَغۡرَقۡنَٰهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٥٥ فَجَعَلۡنَٰهُمۡ سَلَفٗا وَمَثَلٗا لِّلۡأٓخِرِينَ ٥٦

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi dan memperbodohkan  kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq. (54) Maka, tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut). (55) Dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. (56)” [Surah al-Zukhruf: 51-56]

Apabila harta dan takhta menjadi matlamat hidup akhirnya menjadi abdi kepada nafsu yang boleh ditipu dan diheret oleh syaitan ke mana sahaja arahnya.

Kita sedang berdepan lagi dengan hubungan normalisasi dengan negara haram Israel melalui Black Rock yang mula dilupakan dan rakyat dijahilkan sekali lagi .

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 21 Jumada al-Akhirah 1446 / 16 Disember 2024