Home Berita PAS Kelantan

Segerakan projek pembesaran LTSIP

704
SHARE

PASIR MAS – Kerajaan Kelantan berharap kerajaan persekutuan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan dapat mempercepatkan projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembesaran projek itu dilihat mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Bukan itu sahaja, projek ini mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit kronik di Dun Pengkalan Pasir.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama bagi memastikan projek tersebut dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, pembesaran LSTIP merupakan projek berimpak tinggi yang mampu memberikan kesan positif kepada negeri ini untuk tempoh jangka masa panjang.

Kerajaan sebelum ini di bawah teraju bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan melaksanakan projek itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) membabitkan kos RM483 juta.

Dalam perkembangan lain, Hanifa turut berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Saya percaya projek ini tidak akan dibatalkan, sebaliknya dirundingkan harga dan tender semula.

“Ini bagi mengelakkan kerajaan menanggung kerugian,” katanya.- SINAR HARIAN 23/5/2018