Home Berita PAS Melaka

Saya mengaku saya malu ada anak cacat – Aziah

610
SHARE

Oleh SITI HAJAR

HANG TUAH JAYA, 2 April : “Pertama sekalinya, adakah kita malu dengan anak cacat? Saya mengaku, iya saya malu…” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad menceritakan semula perasaannya ketika mula-mula berdepan situasi melahirkan anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Aziah itu adalah perasaan biasa bagi kebanyakan ibu bapa yang mula-mula berdepan dengan anak OKU.

Mengulas lanjut, Aziah menjelaskan situasi penerimaan negatif masyarakat terhadap golongan OKU menyebabkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini berasa malu untuk mendedahkan anak mereka kepada masyarakat awam.

“Dan terutamanya malu kepada (jiran) tetangga, kalaulah dia tahu dia itu ada anak istimewa ataupun anak OKU. Jadi, anak ini (biasanya) akan dikurung di rumah.

“Yang keduanya, masyarakat memandang rendah pada keluarga yang mempunyai anak-anak OKU dan ada yang meminta kanak-kanak ini tidak perlulah bercampur dengan kanak-kanak yang normal.

“Maknanya masyarakat yang tidak bersimpati, yang tidak mempunyai empati pun dalam memberi sokongan kepada keluarga tersebut,” jelas Aziah.

Beliau menyatakan perkara ini semasa menjadi panel kepada diskusi Melaka Update bertajuk ‘Insan Cacat Itu Sempurna, Suatu Anjakan Paradigma’ yang berlangsung di studio Jabatan Penerangan PAS Melaka malam tadi.

Aziah turut menekankan, peranan seorang suami adalah mustahak dalam membentuk penerimaan awal terhadap anak-anak OKU dan secara tidak langsung memberi kekuatan untuk membuang rasa malu untuk menempuh kehidupan bermasyarakat.

“Pengalaman saya ya, di mana saya melahirkan anak yang cacat ketika berumur 31 tahun dengan pemikiran masa tu, saya hanya memikirkan, saya seorang cikgu, bagaimana saya nak mengajar dia dengan kaedah yang sesuai?

“Arwah suami saya kata, ‘engkau kan guru, ajarlah sendiri’.Tapi kita tak ada kaedah. Bila kita tak ada kaedah, kena cari juga ilmu. Tapi, pertama sekali kita belajar reda dan bersangka baik dengan Allah, insya-Allah, Allah akan beri kita jalan,” ujar beliau lagi.

Malah, beliau sangat bersyukur kerana anak beliau yang mengalami ‘down syndrome’ tidak menghidap sebarang penyakit kronik jika dibandingkan dengan orang lain yang turut memiliki anak-anak syurga sepertinya yang mengidap berbagai-bagai jenis penyakit lain.

Menurut beliau, Allah SWT bersifat Maha Pengasih kerana memberikan beliau peluang untuk menjaga anak yang tidak sempurna agar beliau menjadi orang yang lebih bersabar.

“Saya tak tahulah, (bagaimana) Allah campakkan perasaan sabar kepada saya. Maknanya saya mengajar budak-budak pendidikan khas itu selama 20 tahun menghadapi mereka, alhamdulillah saya rasa saya seronok dengan mereka,” ujar beliau yang juga merupakan bekas Guru Pendidikan Khas.

Program diskusi mingguan Melaka Update yang disiarkan secara langsung di laman Facebook PAS Negeri Melaka pada kali ini dikendalikan oleh moderator Siti Salwani Mohd Kassim yang juga merupakan Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Melaka.